Institusi presiden: Suara keramat rakyat
1. Terma latin “vox populi” bermaksud “suara majoriti rakyat” dan dalam konteks demokrasi adalah terjemahan sokongan rakyat. Begitu jualah demokrasi dalam UMNO, undian majoriti perwakilan mengangkat seseorang pemimpin yang menjadi wakil dan pemegang amanah ahli parti.
.
2. Harus di bezakan dengan sistem autokratik dan diktator di mana kuasa berpusat dan pemimpin bertindak sewenang-wenangnya. Tuntasnya, pemimpin besar dan kecil dalam parti tidak boleh bertindak sesuka hati hanya demi kepentingan minoriti dan diri sendiri, sedangkan parti dan rakyat wajib diutamakan.
.
INSTITUSI PRESIDEN
.
3. Tular di media sosial dan arus perdana bahawa wujud Gerakan yang ingin melantik Dato Seri Najib Razak (DSNR) sebagai Pengerusi BN menggantikan Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi (DSAZH). Sedangkan sejak BN wujud pada 1974, secara persetujuan/konvensyen dan amalan bahawa Presiden UMNO secara automatik akan menjadi Pengerusi BN.
.
4. Dari aspek lain, percaturan oleh pihak-pihak tertentu ini dilihat sebagai satu percubaan untuk memperkecilkan institusi Presiden UMNO. Terma institusi presiden inipun dibangkitkan oleh DSNR pada 2016 kepada ahli UMNO, menekankan konsep supaya ahli parti mempertahankan presiden yang memegang jawatan sebagai institusi dan bukannya atas kapasiti individu.
.
ZAHID “ORANG UMNO”
.
5. Selain legitimasi DSAZH sebagai Presiden, kesetian beliau sebagai orang UMNO tidak perlu diperdebatkan. DSAZH menghadapi dua episod besar yang menggoncang tiang seri UMNO, pertama pada 1998 menerima tekanan ketika beliau memimpin Pemuda UMNO dan walaupun begitu tetap setia bersama UMNO.
.
6. Keduanya pada 2018, pasca PRU 14, beliau mengambil risiko memimpin UMNO sedangkan tugasnya amat berat lantaran kehilangan kuasa memerintah dan menerima perlbagai tekanan. Sejujurnya 2 episod ini menterjemah keikhlasan beliau sebagai orang UMNO, beliau masih kekal bersama UMNO dan bukan sebaliknya.
.
MEMIMPIN DAN MENDAMAIKAN
.
7. Selari dengan kematangan, gaya kepimpinan beliau kelihatan berdasarkan wisdom/kebijaksanaan. Amat berbeza dengan kelantangan 20 tahun dahulu. Namun begitu ada hasil dan impak. Beliau tidak melatah, beliau memimpin dengan hikmah dan kebijaksanaan. Hasilnya UMNO kembali mengukuh pasca PRU 14.
.
8. Buktinya, ICERD menghimpun umat Islam Malaysia dengan tautan hati, Muafakat Nasional meruntun emosi dan mengukuh paksi kuasa Melayu-Islam, kompromi Perikatan Nasional yang akhirnya menumbangkan Pakatan Harapan-semua bebenang usaha ini tertenun menjadi lembaran halatuju DSAZH selaku Presiden dan menafikan dakwa dakwi beliau tiada halatuju. Nyatanya beliau membawa gaya kepimpinan yang mendamaikan dan menyelesaikan masalah.
.
KOMPROMI BN
.
9. PRK Tanjung Piai adalah manifestasi kebijaksanaan DSAZH selaku pemimpin dalam masyarakat berbilang kaum. Walaupun tekanan diberikan supaya melatakkan calon UMNO namun akhirnya calon MCA dipertarukan dan ini membawa kejayaan kepada BN. Maka DSAZH memperlihatkan kebolehan beliau untuk menyesuaikan keputusan dengan keadaan dan menenangkan pihak-pihak yang berpotensi untuk bertikai. Apakah ini tidak cukup sebagai bukti bahawa beliau mampu menjadi Pengerusi BN yang efektif.
.
MENAMATKAN ERA WAR LORD & BROKER KUASA
.
10. Sehingga catatan ini ditulis, semalam pada 2.6.2020, DSNR dan DSAZH telah bertemu bersalaman Hari Raya. Maka cakap-cakap yang seolah-olah melaga-lagakan kedua pemimpin ini adalah kerja-kerja war lord dan power broker/broker kuasa tertentu. Era war lord dan power broker ini perlu dinoktahkan, kembalikan susuk sebenar suara rakyat suara keramat!
.
11. Baiklah runding dan bincang. Mahal harga tempur dan perang, mungkin ada si kitul yang kenyang. Ingat pesan leluhur:
.
Alu bertingkah dengan lesung
Padi tumbah ayam yang kenyang
Kita bertelagah sama sekampung
Asyik berbantah orang lain senang.
*ANUAR BASIRAN*
NKB UMNO BAHAGIAN SEPANG