Ekonomi

Instep hasilkan baja kompos daripada sisa makanan demi kelestarian alam

SISA makanan sama ada dihasilkan dari isi rumah, restoran, pasar atau dari mana-mana sahaja sekiranya tidak dikendalikan dengan baik, ia hanya akan berkesudahan di tapak pelupusan sampah.

Lebih memburukkan keadaan, sisa makanan yang dibiarkan berhari-hari berisiko mengundang pelbagai pencemaran dan penyebaran penyakit serta jangkitan.

Enggan menjadi penyumbang kepada situasi tidak menyenangkan itu, Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) di Batu Rakit, Kuala Nerus, Kedah, mengambil inisiatif menyediakan Rumah Kompos Instep yang ‘menukar’ sisa makanan menjadi baja kompos dengan menggunakan sebuah mesin kompos yang disewa dari sebuah syarikat iaitu Mentari Alam Eko (M) Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Instep Idris Ibrahim berkata, sejak mula menggunakan mesin pada 13 Ogos lalu, pusat latihan juruteknik dan pengendali industri petroleum itu memproses 30 hingga 40 kilogram sisa makanan sehari menjadi baja kompos hanya dalam tempoh 24 jam.

“Buat masa ini baja kompos yang dihasilkan dari mesin ini dapat mengurangkan sebanyak 40 peratus penggunaan baja kimia dan organik untuk kegunaan pokok dan tumbuh-tumbuhan dalam kawasan kampus,” katanya kepada BERNAMA.

Idris berkata, penggunaan baja kimia dan organik dapat dikurangkan sebanyak 60 hingga 70 peratus sekiranya mesin tersebut dikendali pada tahap maksima iaitu memproses 100 kilogram sisa makanan pada satu masa iaitu ia dapat menghasilkan 20 kilogram baja kompos.

“Sebelum ini setiap bulan kami (Instep) menggunakan sebanyak 300 hingga 400 kilogram baja kimia dan organik.

“Namun dengan mesin kompos itu kami dapat menjimatkan penggunaan baja kimia dan organik. Malah penggunaan baja kompos turut meningkatkan kesuburan tanah dan memberi nutrien yang lebih kepada tumbuhan,” katanya.

Katanya lagi, penggunaan mesin kompos tersebut adalah selari dengan agenda Petronas untuk mengekalkan kelestarian alam semula jadi.

Dan menyokong komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pentadbiran Am, Pengurusan Fasiliti dan Perkhidmatan Instep merangkap ketua projek pengkomposan tersebut, Muhamad Faisal Abdullah berkata, sebelum penggunaan mesin tersebut, sisa makanan dari tiga outlet makanan kampus akan diambil setiap hari oleh penduduk setempat untuk diberikan kepada ternakan mereka.

“Namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac lepas mereka tidak dapat masuk ke sini dan kami terpaksa membuang sisa makanan ke dalam tong sampah. Jadi dari situ kami lihat terdapat keperluan untuk memproses semula, sisa makanan menjadi sesuatu yang memanfaatkan.

“Mesin itu menguraikan sisa makanan menjadi bentuk tanah dengan kehadiran udara dan haba, dan dibantu beberapa peralatan lain seperti alat penghancur.

”Selain mesin ini terdapat juga kaedah kompos sisa makanan secara tradisional seperti yang diamalkan di luar negara. Namun ia mengambil masa lama iaitu antara tiga hingga enam bulan untuk menjadi baja kompos,” katanya.

Sementara itu Pengurus Operasi al Qanaah Resources Sdn. Bhd. iaitu pihak yang menguruskan outlet makanan di Instep, Hanif Othman berkata, kebiasaannya pihaknya menyediakan hingga 2,500 hidangan sehari bagi penuntut dan kakitangan Instep.

“Daripada 2,500 hidangan yang disediakan untuk enam kali waktu makan itu, selalunya akan terhasil antara 60 hingga 100 kilogram sisa makanan yang terbahagi kepada dua kategori iaitu makanan yang telah dimasak tetapi tidak dihabiskan dan bahan mentah bagi penyediaan hidangan seperti sayuran layu dan kulit buah-buahan.

“Jadi, setiap 3 petang pekerja saya akan mengumpul sisa makanan ini dan masukkan ke dalam mesin kompos. Ia menjadikan persekitaran ruang makan dan dapur kami lebih bersih kerana sisa makanan tidak akan dibiarkan dalam tempoh yang lama,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button