Inovasi, penyelidikan perlu digalakkan dalam kalangan mahasiswa – Raja Muda Perlis
Inovasi adalah penciptaan berbentuk proses, produk atau perkhidmatan yang berupaya memberi peningkatan signifikan terhadap hasil, kecekapan, keberkesanan atau kualiti. Melalui sesebuah persidangan kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cintakan penyelidikan, malahan boleh menyelesaikan masalah secara lebih kreatif dan inovatif.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat ke Kampus Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis di Pauh Putra bagi menyempurnakan rakaman titah ucapan perasmian ‘National Conference on TVET Undergraduate Students (NCTS 2021)’.
Menurut Tuanku Raja Muda, ‘Pengalaman luas yang diperolehi melalui penyelidikan, merangsang corak pemikiran tinggi dalam kalangan pensyarah, penyelidik dan juga pelajar. Pensyarah adalah mentor yang berperanan membimbing pelajar menghasilkan kajian berimpak tinggi dan diiktiraf. Kajian-kajian inilah yang akan dikongsikan dalam persidangan berprestij seperti ini.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis, Abdul Malek Hassan yang menyambut keberangkatan tiba baginda menerangkan bahawa ‘NCTS 2021’ dianjurkan sehari suntuk secara digital pada selasa, 14 September ini oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pengajian Tinggi melalui PTSS Perlis.
Terang beliau, webinar ‘NCTS 2021’ ini akan diadakan secara ‘live video linkage’ antara pembentang terus ke panel yang bakal melibatkan sebanyak 100 kertas pembentangan dari pelajar-pelajar Sarjana Muda politeknik yang menawarkan program Sarjana Muda iaitu Politeknik Ungku Omar, Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Sultan Azlan Shah.
Tambah Abdul Malek lagi, ‘NCTS 2021’ diadakan bagi menggalakkan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan mahasiswa yang menjadi elemen penting dalam memastikan ekosistem TVET negara terus berkembang dan berevolusi. Matlamat sesebuah penyelidikan dijalankan adalah bagi mewujudkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Melalui persidangan ini, himpunan kertas penyelidikan yang dibentangkan kemudiannya akan diterbitkan agar memberi manfaat kepada segenap pihak yakni sebagai sumber rujukan dalam meningkat dan mencambahkan lagi idea serta ilmu.