Ini padahnya curi tabung masjid, selepas kena mandi seperti jenazah, kena penjara pula
SELEPAS dimandikan seperti jenazah akibat cuba mencuri tabung masjid, lelaki terbabit hari ini dikenakan hukuman dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang.
Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.
Kes itu dibicarakanb mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Nik Mohd Fadli menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung masjid kerana ia perbuatan yang salah.
Peguam Azman Abdullah yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini kesalahan pertama kali anak guamnya serta dia telah insaf.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga siak pergi ke masjid dan mendapati tabung masjid tiada.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki merosakkan tabung masjid sebelum mengheret dan menyembunyikan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Pengadu bersama ahli jawatankuasa masjid mengesyaki lelaki itu tinggal berdekatan masjid dan apabila mereka membuat rondaan di sekitar kawasan itu, mereka ternampak seorang lelaki yang sama dengan rakaman CCTV lalu menghampirinya dan bertanya adakah dia memecah masuk dan mencuri tabung masjid berkenaan.
Lelaki itu kemudiannya mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu menyebabkan ahli jawatankuasa masjid menangkapnya dan menghubungi pihak polis.
Media melaporkan, seorang lelaki tular dalam media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.