Ekonomi

Industri solar perlu 60,000 tenaga kerja yang diiktiraf SEDA

Industri solar di negara ini memerlukan sekitar 60,999 tenaga mahir dalam apabila Ladang Solar Skala Besar 5 (LSS5) dimulakan pada tahun hadapan.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., iaitu salah sebuah syarikat yang terlibat dalam pembinaan dan pengurusan ladang solar, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, ia terutama bagi kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan.

Katanya, tender LSS5 akan ditutup pada hujung bulan ini dan akan diumumkan pada Januari tahun hadapan yang akan membuka laluan kepada pembinaan ladang-ladang solar baharu.

“Pemenang-pemenang tender memerlukan enam bulan untuk memuktamadkan pembiayaan dengan pihak bank.

“Selepas itu kerja-kerja pemasangan akan bermula sekitar Julai 2025, dan ketika ini para pemain industri solar memerlukan sekitar 60,000 pekerja untuk memastikan projek mereka siap pada Disember 2025,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, untuk memastikan projek LSS5  tidak tergendala dan melancarkan pelan peralihan tenaga negara (NETR), kerajaan perlu memastikan keperluan tenaga kerja mahir dan separuh mahir ini tersedia.

“Sekarang bilangan pemasang yang dikeluarkan oleh pusat latihan yang bertauliah oleh  Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) tidak sampai 4,000 orang,” katanya.

Menurut Guntor, walaupun pada masa ini penawaran kursus-kursus berkaitan solar tumbuh ibarat cendawan selepas hujan, tetapi ia tidak memberi apa-apa makna sekiranya tidak diiktiraf oleh SEDA.

Katanya, sesetengah institusi yang menawarkan kursus berkaitan solar ini semata-mata mahu merebut geran yang ditawarkan TVET di di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan  wilayah (KKLW).

“Mereka ini mahu latih belia-belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kemahiran berkaitan solar. Tetapi belia-belia ini tidak tahu sama ada kursus yang ditawarkan itu diiktiraf oleh SEDA atau tidak.

“Jika ini berlaku bermakna akan bawa risiko kepada penyalahgunaan geran TVET untuk industri solar.

“Kasihan para belia yang tamat kursus itu tetapi tidak diiktiraf oleh SEDA dan tidak menepati keperluan dan kehendak industri, sedangkan kerajaan sudah bayar mahal.

“Mereka yang tidak diiktiraf oleh SEDA tidak boleh buat ujian atau meluluskan sesuatu pemasangan. Pihak industri juga tidak boleh bayar gaji tinggi kepada mereka,” jelasnya.

Oleh beliau mencadangkan supaya pusat-pusat latihan sedia ada yang diiktiraf oleh SEDA diperkasakan untuk melatih tenaga-tenaga mahir dalam industri solar bagi mengelakkan penipuan dan salah guna.

SEDA juga kata beliau perlu diberi kuasa untuk melakukan penguatkuasaan peraturan berkaitan tenaga kerja dalam industri ini supaya mereka yang benar-benar mahir sahaja yang melakukan kerja-kerja pemasangan.

“Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti salah pasang, litar pintas, kebakaran dan sebagai,” jelas beliau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button