Inayah Beauty sumbang RM500,000 kepada Yayasan Nurjiwa untuk bantu Keluarga Gaza
SYARIKAT dari usahawan tempatan Inayah Beauty telah menyumbang RM500,000 kepada Yayasan Nurjiwa, yang dikendalikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza, bagi membantu 2,500 keluarga di Gaza.
Menurut ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Latifi, keyakinan terhadap integriti yayasan dan ketelusan Siti Nurhaliza sebagai pendorong utama kerjasama ini.
“Kerjasama dengan Yayasan Nurjiwa memberikan kami keyakinan kerana integriti dan kebolehpercayaan mereka. Reputasi Siti yang telus memudahkan kami untuk menyalurkan sumbangan dengan yakin bahawa ia akan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
“Tahun lalu, kami berjaya mengumpul RM300,000 untuk disumbangkan bagi membantu penduduk di Gaza. Tahun ini, jumlah sumbangan bertambah kepada RM500,000 dan daripada apa yang diberitahu, ini bagi membantu 2,500 keluarga di sana,” ujarnya.
Tambah Dini, usaha ini bukan hanya dianggap keperluan segera tetapi juga bertujuan untuk membina satu tradisi tahunan yang menyeluruh.
“Kami bercita-cita menjadikan kutipan ini sebagai acara tahunan dan berusaha memperkenalkan inovasi yang boleh menggalakkan lebih ramai untuk terlibat,” ujarnya.
Dini turut berkongsi bahawa inisiatif tahun ini adalah lanjutan dari sumbangan RM300,000 pada tahun sebelumnya, dengan harapan untuk menjadikannya acara tahunan yang lebih besar dan melibatkan lebih ramai penyumbang.
Siti Nurhaliza menekankan kepentingan ketelusan dalam pengagihan bantuan, sambil menegaskan komitmen Yayasan Nurjiwa terhadap rakyat Malaysia yang memerlukan.
“Kami sentiasa memastikan penyumbang mengetahui ke mana sumbangan mereka disalurkan. Dengan itu, kami berkongsi aktiviti-aktiviti di media sosial supaya mereka dapat menjejaki bantuan yang diberikan, termasuk sumbangan makanan kepada anak-anak yatim,” kata Siti.
Turut hadir Duta-duta Inayah Beauty, seperti Fasha Sandha, Nora Danish, dan Abby Abadi, turut menyokong usaha ini, menyatakan bahawa sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga usaha kolektif untuk menyokong kemanusiaan.