Merrepak

Implikasi lantikan politik di GLC

PENGUMUMAN terbaharu mengenai pertukaran peneraju Petronas ke syarikat penerbangan negara yang lama sakit, Malaysia Airlines mencetuskan polemik perbahasan dalam kalangan rakyat.

Merrepak hari ini menganalisis sudut perbahasan positif dan negatif dasar kerajaan sekarang berkaitan perubahan pada sektor syarikat milik kerajaan (GLC) dalam bahasa mudah dan hujah ringkas untuk semua kita faham dan kemudian, memberi idea untuk anda membuat rumusan sendiri.

Bukan Luar biasa

Pertukaran peneraju Petronas itu adalah rentetan daripada pertukaran besar-besaran yang dilakukan terhadap semua GLC sekarang.

Ia bukan juga sesuatu yang luar biasa bila bercakap daripada sudut `pertukaran’ kerana GLC juga baharu sahaja menyaksikan rombakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak menguasai kerajaan pada Mei 2018.

Jadi ia adalah realistik, bila kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan pada Mac lalu, mereka akan meletakkan orang mereka pula. Ada beberapa lagi lantikan zaman PH yang selamba buat-buat tidak tahu sekarang berpaut pada jawatan lantikan ketika sebilangan daripada mereka sudah pun akur meletak jawatan bila PH tumbang.

petronasPerubahan pada peneraju Petronas ini agak sedikit luar biasa polemiknya kerana selain menjadi bahan perbahasan parti penentang kerajaan, ia juga dibincang oleh penyokong kerajaan yang tertanya-tanya bagaimana Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, seorang berlatar belakang 37 tahun di dalam sektor minyak dan gas boleh ditukar menjaga syarikat penerbangan pula.

Sebenarnya, tak salah apa pun. Kerajaan mengharapkan kepakaran dan kemahiran Wan Zul sekian lama di Petronas dapat digunakan pula bagi memulihkan MAS. Asyik melihat serba-serbi dengan kecurigaan, bila negara hendak maju?

Oleh itu, mari kita bincang aspek `apa akan anda buat jika anda jadi anggota kerajaan hari ini?’:

Ketika PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, GLC telah diberi tumpuan dengan slogan reformasi. Hampir keseluruhan GLC yang merupakan syarikat-syarikat penjana kewangan kepada kerajaan dirombak pengurusan termasuk penerajunya sekali.

Rombakan itu bukan sahaja kepada GLC besar tetapi juga entiti kerajaan yang jika menjana duit pun, setakat mendapat geran tahunan tetap daripada kementerian. Sebab itu bila entiti seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pun pengerusinya ditamatkan perkhidmatan, rakyat melihat langkah itu memang sekadar hendak beri kepada kroni semata-mata.

Apakah ini salah? Jika anda anggota kerajaan PH ketika itu atau PN hari ini, ia adalah hak anda untuk berbuat demikian. Bak kata seorang menteri zaman PH, “anda berhak memberi pendapat tetapi anda bukan kerajaan”.

SENADA SEIRAMA

Ini kerana sebagai kerajaan, inilah jalannya untuk anda memastikan orang yang dilantik itu adalah orang yang senada seirama dengan polisi kerajaan anda. Tentunya ramai kalangan peneraju korporat yang terlibat sebelum ini, pantas melafazkan `saya adalah seorang profesional yang akan melaksanakan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin’. Ini pun rakyat faham kalau tidak lafaz pun susah. Bila dilantik ahli politik, senang nampak bendera apa sokongan mereka.

Yang kedua, sebagai kerajaan inilah juga caranya untuk membalas jasa keperwiraan rakan yang menyokong atau mengundi kerajaan. Hendak beri jawatan menteri, kekosongan kabinet adalah terhad walaupun kabinet berjumlah 32 menteri sekarang pun dianggap sangat besar. Yang pasti, hanya ada satu jawatan timbalan menteri yang kosong boleh dipohon sekarang. Sila isi borang Jobstreet selepas ini.

Yang ketiga, pertukaran perlu sebagai membaiki `kerosakan’ yang dilakukan pengurusan sebelum ini, sama ada secara berasas dakwaan itu atau sekadar persepsi. Misalnya entiti yang khusus mengenai petani luar bandar, diberi tugas menjaga seorang ahli politik kota raya. Peritnya hendak menemukan titik pertemuan empati sehinggakan saranan meminum pati buah sampai sekarang menjadi bahan gurauan.

LAYAKKAH?

Yang keempat, benarkah ahli politik tidak layak menguruskan GLC berbanding ahli korporat? Ada banyak hujah sebenarnya. Kita huraikan seperti berikut:

  1. Definisi pekerjaan ahli politik itu sendiri, iaitu dia hendaklah memberi khidmat kepada rakyat, kawasan yang diwakili dan menggubal undang-undang. Tiada disebut jadi CEO atau MD syarikat. Kena pilih salah satu. Donald Trump pun tidak bercerita jualan hartanah sejak jadi Presiden Amerika Syarikat. Hal beliau merapu, itu cerita lain.
  2. Malah ahli perniagaan yang naik taraf jadi ahli politik pun, kena mengisytiharkan tidak memegang sebarang kepentingan perniagaan bila memegang jawatan perkhidmatan awam. Larangan terus menerus memegang kepentingan perniagaan adalah supaya tidak berlaku salah guna kuasa, dorongan tumbuk rusuk dan rasuah.
  3. Tetapi ada orang tanya apakah perlakuan seumpamanya tidak dilakukan oleh ahli korporat? Mungkin ada tetapi mereka dikawal menerusi KPI oleh Lembaga Pengarah.
  4. Oleh kerana larangan itu, ahli politik yang ada perniagaan menyerahkan urusan harian kepada proksi atau pengurusan syarikat yang dipercayainya. Ini biasa berlaku.
  5. Kalau meninggalkan sama sekali perniagaan, ia bermakna bencana kepada dirinya. Bila ada orang memohon bantuan duit di pagar rumah, duit mana hendak diberikan?
  6. Inilah masalah utama orang politik. Hendak berkhidmat kepada rakyat tetapi bagaimana jika tiada berwang. Rakyat yang datang bukan sekadar minta tandatangan surat recommendation tetapi pelbagai masalah rakyat seperti pinjam duit untuk bayar permit berniaga, tampal perahu dan sebagainya.
  7. Faktor-faktor di atas ini jugalah mengapa ramai mahu jadi YB di bandar-bandar besar yang kurang sikit orang ketuk pintu waktu malam minta tolong.
  8. Berdasarkan pemerhatian kasar, hanya beberapa orang menteri yang asalnya merupakan ahli perniagaan yang masih terus menerus mewarnai dunia politik Malaysia. Tun Daim Zainuddin dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis adalah antara contoh ahli perniagaan berjaya di dalam bidang korporat sebelum menyertai politik. Mereka ini adalah kelas tersendiri kerana ramai tahu mereka sudah sedia kaya raya sebelum menyertai politik, dan bukan menyertai politik untuk jadi kaya.
  9. Yang masalah ialah ahli politik yang tidak tetap hala tujunya. Hendak jadi ahli perniagaan secara part time, sehingga sanggup beratur bertemu menteri lain untuk merebut kontrak berbilion ringgit. Ketahuila, ini bukan karya fiksyen Merrepak.
  10. Kepada ahli politik sebegitu, kita nasihatkan mereka: “Hendak jaga kroni pun berpada-padalah, jangan sampai diri dikeji”. Ahli politik yang dilihat rakus hendak kaya sekaya-kayanya sementara ada jawatan, lazimnya tidak lama di dalam politik. Sebab naiwatu berkhidmat kepada rakyat, jatuh ke perkara paling bawah keutamaan kerjaya politiknya.

Setelah membaca huraian pro & cons di atas, anda buatlah rumusan sendiri. Tak sokong atau sokong pelantikan ahli politik menerajui GLC kena ada sebab-sebab konkrit. Bukan setuju selepas sekadar baca tajuk sahaja. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button