Berita

Imam masjid maut kemalagan selepas lawat isteri bersalin di hospital

SEORANG imam masjid maut dalam kemalangan selepas kenderaan Perodua Kembara yang dipandunya terbabas di Kilometer 211.8, Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah utara, berhampiran Sitiawan, semalam.

Mangsa, Nurul Kamal Zulkarnain, 37, bertugas sebagai Imam di Masjid As-Siddiq, Seri Iskandar, dan juga merupakan Guru Takmir di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Seri Iskandar.

Difahamkan, isteri mangsa baru sahaja melahirkan cahaya mata di Hospital Seri Manjung semalam. Kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke Seri Iskandar selepas melawat isterinya di hospital, dan beliau dipercayai dalam perjalanan untuk menjemput anak-anaknya di sekolah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah Perodua Kembara yang terbabas ke dalam kawasan ladang kelapa sawit di tepi Lebuhraya WCE. Seorang mangsa lelaki didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM).

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button