Titah Raja-Raja Melayu agar mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat adalah selari dan bertepatan dengan iltizam Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional Senator Ts. Khairil Nizam Khairudin berkata, titah Raja-Raja Melayu selari itu juga dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Katanya, pelan tersebut melihatkan kepada satu gerak kerja inklusif, ditambahbaik dan menyeluruh dalam usaha strategi keluar yang diambil negara daripada kemelut Covid-19 yang melanda.
“Pemuda Perikatan Nasional menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertarikh 16 Jun 2021.
“Pemuda Perikatan Nasional sebagai entiti yang sentiasa menjunjung tinggi sistem Raja Berperlembagaan melalui Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
“Titah Duli Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu agar mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat adalah selari dan bertepatan dengan iltizam Kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Khairil Nizam.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, Pemuda Perikatan Nasional akan terus mengamalkan politik khidmat bakti dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Pemuda Perikatan Nasional turut memberikan tiga cadangan kepada Kerajaan dalam membantu rakyat ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan jangkitan Covid-19.
Pemuda PN memohon agar kerajaan dapat mempertimbang potongan 20 peratus bagi penggunaan elektrik kediaman.
Kerajaan juga perlu memberikan moratorium bersasar pada golongan M40 dan sektor perniagaan selian mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan.
“Pemuda Perikatan Nasional akan terus konsisten mendukung kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” katanya.-SM