Ikut sunnah nabi ketika jalani ibadah puasa – Raja Muda Perlis
Adab-adab berbuka puasa menurut sunnah adalah ‘Segera berbuka apabila masuk waktu, Berbuka puasa dengan rutab atau tamar atau air, menyegerakan solat maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air sekiranya makanan belum dihidangkan, Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka, Berdoa ketika berbuka dan juga Berdoa kepada orang yang menjamu kita berbuka’.
Demikian dikongsikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengenai senarai yang digariskan dalam penerbitan sebaran “Adab-Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah” oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis yang dilancarkan oleh baginda baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah selepas berkenan berangkat melancarkan program ‘Penyerahan Bantuan Regional Ramadan Relief 2022’ oleh pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Maybank Islamic Berhad dengan kerjasama MAIPs di perkarangan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.
Sebanyak 350 kotak makanan terdiri daripada beras dan barangan makanan keluaran usahawan bimbingan YaPEIM telah disalurkan kepada 350 buah keluarga asnaf di semua 102 kariah seluruh negeri ini yang dikenalpasti melalui kerjasama Amil Kariah Masjid lantikan MAIPs.
Hadir mewakili pihak YaPEIM adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Prof Dr Mohamad Akram Laldin dan Pemangku Ketua Pengarah Haji Awang@Musran Tawil.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Sempena program tersebut Tuanku Raja Muda turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang akan diagihkan oleh amilnya, Zulkifly Othman.