Ikat tali leher, layan seperti anak sendiri walau tidak kenal
RAKYAT Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap baik hati dan saling tolong menolong tidak kira bangsa dan agama.
Perkara tersebut dapat dilihat sendiri dalam video yang dikongsikan Youtuber, Leeroy Wong ketika melakukan eksperimen sosial di sekitar ibu kota, baru-baru ini.
Dalam video tersebut, dapat dilihat Leeroy menghampiri seorang lelaki dan meminta bantuan untuk mengikatkan tali leher kerana tidak tahu cara untuk mengikat tali leher.
Leeroy juga mengatakan yang dirinya datang ke ibu kota untuk menghadiri sesi temu duga kerja.
Menjadi perhatian orang ramai apabila lelaki tersebut tidak menolak dan terus membantu Leeroy mengikat tali leher serta turut membantu memakaikannya di kolar baju kemeja Leeroy.
Tetapi yang lebih membuatkan netizen terharu adalah melihat lelaki tersebut membantu menyisir rambut dan memberi kata semangat sehingga Leeroy menangis.
Boleh dikatakan lelaki tersebut melayan Leeroy seperti anak sendiri sedangkan mereka tidak mengenali dan baru saja berjumpa.
Video tersebut telah mendapat 1.1 juta tontonan dalam masa beberapa jam selepas dimuat naik di TikTok, semalam.
Rata-rata netizen puji lelaki tersebut dan turut tersentuh melihat tindakan lelaki itu.
“Saya tonton tiga kali dan saya nangis,” kata seorang netizen.
“Kita bangga menjadi rakyat Malaysia yang saling menghormati antara satu sama lain. Negara kita rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama. Itulah sebenarnya kekuatan kita kerana dapat hidup dengan harmoni. Mari sama-sama kita suburkan perpaduan dalam kehipuan kita,” komen seorang pengguna Youtube. -SM