Ibu tunggal bersama enam anak tinggal dalam khemah akhirnya dapat rumah
SEORANG wanita bersama enam orang anaknya yang tinggal di sebuah khemah di tapak tunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Bandar Tasik Selatan telah menerima sebuah rumah pada Jumaat lalu.
Difahamkan, wanita yang juga ibu tunggal itu bersama anaknya yang berusia 3 hingga 19 tahun telah tingga dalam keadaan yang daif di pondok itu.
Wanita itu juga tinggal di khemak yang dibuat sendiri dalam keadaan tanpa keperluan asas seperti bekalan air dan elektrik.
“Sebelum ini saya ada menyewa di Taman Mulia dengan jumlah sewaan sebanyak RM600 sebulan.
“Tetapi disebabkan tidak mampu unutk membayar jumlah sewa itu, saya telah dipaksa keluar sebelum membina khemah ini untuk kami berteduh,” katanya.
Terkesan dengan situasi sukar ibu tunggal itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar telah berusaha untuk membantunya mendapatkan rumah.
Kamarudin yang juga Timbalan Menteri Luar itu berkata, pihaknya telah berjaya mendapatkan sebuah rumah sewa DBKL yang lebih selesa untuk didiami wanita itu dan anak-anaknya.
“Keutamaan kita ialah memastikan rakyat yang tinggal di Bandar Tun Razak menikmati kemudahan dan hidup dalam persekitaran yang kondusif. Tidak sepatutnya rakyat tinggal dalam keadaan yang daif.
“Kita jugaakan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti DBKL, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu kebajikan rakyat,” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga telah prihatin dengan nasib rakyat sejak Covid-19 melanda dan telah menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dalam bentuk sumbangan kewangan, barangan keperluan dapur dan menjana aktiviti pekerjaan. -SM