Rencah Hidup

Ibu sambal atau sambal tumis: Stok wajib ada di rumah

Oleh SHOLINA OSMAN

MASAKAN pedas sangat sinonim dengan rakyat Malaysia. Jadi tidak hairanlah sejenis masakan yang berasaskan cili kering iaitu ibu sambal atau sambal tumis amat popular serta digemari tanpa mengira usia atau bangsa di negara ini.

Siap dipek untuk stok.

Tanyalah pada mana-mana suri rumah pun, amat jarang jika ibu sambal atau sambal tumis tidak dijadikan sebagai stok wajib di dalam peti sejuk masing-masing.

Pes cili yang disifatkan sebagai bahan serbaguna ini memang menjadi nadi dalam pelbagai menu masakan. Jarang ada masakan yang tidak menggunakan ibu sambal atau sambal tumis.

Kalau nak sebut memang berderet-deret masakan yang menggunakan ibu sambal atau sambal tumis ini. Mana tidaknya, ia boleh digunakan untuk membuat sambal nasi lemak, sambal ikan serta makanan laut yang lain.

Ada juga untuk menggoreng bihun, mi kuning, kuetiau, nasi goreng atau sebagai perasa pedas untuk ayam masak kicap dan sebagainya.

Sebenarnya tidak sukar untuk menghasilkan ibu sambal, cuma perlukan masa untuk mengunting cili sebelum direbus.

Sambal telur.

Cili ini kemudiannya dikisar bersama dengan bawang besar sebelum ditumis dengan diletakkan gula, garam dan air asam jawa. Tujuannya bagi mengimbangkan rasa manis, masin dan masam dan ia perlu dimasak sehingga pekat untuk tahan lama.

Bagaimanapun bagi wanita yang bekerja, tak perlu berpeluh di dapur kerana banyak ibu sambal atau sambal tumis ini semakin banyak dikomersialkan.

Hanya menggunakan jari, pilih saja jenama disukai di pusat membeli belah online seperti shopee dan lazada. Buka pes yang dibeli dan boleh terus masak dengan bahan lain.

Penulis juga cuba mendapatkan pandangan netizen menerusi Facebook mengenai stok ibu sambal atau sambal tumis ini. Rata-rata mengaku stok ibu sambal ni mesti ada di rumah dan masih suka membuatnya sendiri.

Umairah Saad dalam komennya mengaku stok sambal tumis mesti ada dalam peti ais di rumahnya.

Seorang lagi, Halisah Shaari pula menjadikan ibu sambal ini sebagai stok di bulan puasa untuk lebih mudah memasak.

Katanya, jika di hari biasa dia buat ibu sambal bila diperlukan dalam masakan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button