Ibu, dua anak disyaki dera pembantu rumah Indonesia
SEORANG wanita berusia 52 tahun bersama dua orang anaknya masing-masing berumur 23 dan 17 tahun ditahan selepas disyaki mendera pembantu rumah mereka dari Indonesia.
Ketiga-tiga mereka ditahan di rumah mereka di Taman Desa Pantai 2, Pantai Remis, dekat Manjung, kira-kira 78 kilometer dari Ipoh, Perak pada Sabtu lepas.
Pembantu rumah wanita berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan ringan dan dia telah bekerja di rumah tersebut sejak Ogos 2019.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak SAC Anuar Othman berkata, mangsa tidak dibayar gaji sepanjang tempoh bekerja. Wanita bernasib malang itu juga dikurung di dalam rumah serta dipaksa bekerja setiap hari. Pembantu rumah itu juga mengadu cuping telinganya hampir putus akibat didera majikan.
Memetik laporan Bernama, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menyelamatkan mangsa pada pukul 8.45 malam, 1 Ogos lepas.
Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga Khamis ini dan mangsa telah dihantar ke rumah perlindungan sementara menunggu siasatan lanjut.
Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.-SM