Ibu bapa perlu berperanan memantau, menasihati anak-anak – Raja Muda Perlis
Murid-murid memerlukan strategi asas yang mantap bagi membentuk diri menjadi seorang individu yang berjaya dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan pengorbanan. Pelajar juga perlu sentiasa proaktif dalam apa sahaja yang hendak diperlakukan.
Sehubungan itu, pihak sekolah dan ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting bagi memantau dan menasihati anak-anak kita ini agar mereka sentiasa berada di landasan yang tepat sebagai seorang pelajar yang berjaya.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Tasoh, Kaki Bukit baru-baru ini.
Kayuhan amal yang pada kali ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri bertujuan untuk membantu dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan.
Usaha ini merupakan acara mingguan yang dijalankan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi Negeri dan Persekutuan dalam usaha membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan dan menambah baik kehidupan mereka dan keluarga.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga asnaf yang terpilih iaitu Shamsul Saad, 45 tahun dari Kampung Tasoh, Baharum Salleh, 87 tahun juga dari kampung yang sama dan Othman Saad, 78 tahun dari Kaki Bukit Beseri.
Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM 700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian sekeluarga.