Nasional

HRD Corp digesa teruskan perananan pembangunan modal insan

SELARAS dengan penjenamaan baharu Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) bakal menggalas tanggungjawab yang lebih besar sebagai agensi pusat untuk semua program pembangunan modal insan bukan sahaja untuk golongan pekerja bahkan semua warga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha ini akan diterjemahkan melalui platform bersepadu atau ‘single window’ untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh Kerajaan.

Platform bersepadu ini, kata Ismail Sabri, akan diakses lebih sejuta rakyat Malaysia pada tahun hadapan.

“Sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan dijangka seramai 220,000 peserta akan menyertainya dengan pembiayaan kerajaan,” katanya pada majlis Pelancaran Jenama HRD Corp dan Platform Sehenti Program Kemahiran, hari ni.

Beliau berkata, selaras dengan misi HRD Corp untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia dengan pembelajaran sepanjang hayat dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan, HRD Corp diharap akan dapat memberi manfaat serta impak yang besar kepada negara untuk jangka panjang.

“Saya yakin dengan kepimpinan Pengerusi HRD Corp dan usaha kuat Ketua Eksekutif HRD Corp serta barisan kempimpinan kanan organisasi ini, HRD Corp akan terus berjaya dalam usaha mengembangkan modal insan negara bukan sahaja di Malaysia malah di persada antarabangsa,” ujar beliau.

Perdana Menteri ketika berucap pada majlis berkenaan turut meletakkan harapan pada HRD Corp agar mampu menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital, melalui pembangunan aset negara yang paling berharga yakni Keluarga Malaysia sendiri.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Dua dimensi utama RMKe-12 iaitu Pemerkasaan Ekonomi dan Perekayasaan Sosial sememangnya memerlukan inisiatif yang mencipta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran untuk segenap masyarakat,” jelas beliau.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, di samping memperkenalkan inisiatif-inisiatif strategik yang baharu, HRD Corp terus memperkasa fungsi utamanya iaitu pengumpulan levi dan pengagihan dana untuk program latihan kemahiran oleh majikan berdaftar.

Sepanjang tahun lalu, HRD Corp telah mengagihkan hampir RM420 juta untuk program latihan kemahiran majikan berdaftar yang merangkumi lebih daripada 416,000 pekerja yang menjalani pelbagai skim latihan kemahiran, kata beliau.

“Pada tahun ini, jumlah pungutan levi dijangka mencecah RM680 juta dan sebahagiannya telah digunakan untuk melatih 500,000 pekerja.

“Ia selaras dengan perluasan Akta PSMB 2001 yang menyaksikan peningkatan majikan berdaftar dengan HRD Corp daripada 33,000 majikan kepada 65,400 majikan,” katanya.

Jumlah ini kata Ismail Sabri, menunjukkan peningkatan lebih 96% melibatkan hampir 4 juta pekerja dalam tempoh setahun.

“Berdasarkan pencapaian yang memberangsangkan ini, saya yakin HRD Corp akan menjadikan pengurusan latihan lebih sistematik dan dapat memberi tumpuan penuh terhadap latihan berdasarkan keperluan semasa pihak industri,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button