pilihanSukan

Hoki wanita belasah Vietnam Vietnam 25-0 di Piala Asia 2024

Skuad hoki dalam dewan wanita kebangsaan bermula langkah kanan pada aksi Kumpulan A Piala Asia 2024 apabila membelasah Vietnam 25-0 di Chonburi Thailand hari ini.
BERNAMA melaporkan, kemenangan itu sekali gus memberi tiga mata buat pasukan negara yang diberi julukan Malaysian Tigress dalam misi mereka merebut kejuaraan sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lepas iaitu di tempat ketiga, dan menempah tiket ke kejohanan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan Wanita di Croatia tahun depan.
Ketua pengendali Mohd Rodzhanizam Mohd Rodzi berkata pemainnya mempamerkan disiplin yang baik, memudahkan skuad negara mengecapi kemenangan besar pada aksi pembukaan itu.
Beliau berkata kemenangan itu bakal menambah keyakinan pasukan dalam menghadapi perlawanan kedua Kumpulan A menentang Oman petang ini.
“Pemain sedar mengenai jaringan penting dalam perlawanan ini. Setiap peluang yang dimiliki berjaya diambil, tetapi masih lagi ada beberapa kesilapan yg dilakukan, namun pemain dapat atasi dengan baik. Pemain telah bermain dengan baik.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh, dan tidak akan memberi peluang kepada Pasukan Oman petang nanti. Pemain juga tidak boleh mengambil mudah cabaran padukan lawan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.
Terdahulu pada aksi yang berlangsung di Thailand National Sport University (TNSU) Kampus Chonburi, menyaksikan Malaysian Tigress tidak menunggu lama untuk membolosi gawang pasukan lawan menerusi jaringan padang Nur Atira Mohamad Ismail pada minit pertama yang turut meledak empat lagi jaringan pada minit ke-15, 28, 34, dan 36.
Jaringan lain disumbang oleh Raja Norsharina Raja Shahbuddin (3′, 25′), Iren Hussin (4′, 30′, 38′), Siti Nur Arfah Mohd Nor (5′ 11′ 19′ 20′ 20′ 27′), Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi (7′, 28′ 32′), Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun (9′, 40′), Nuraslinda Said( 13′), Juliani Mohamad Din (22′ 35′) dan Fazilla Sylvester Silin (40′).
Esok Malaysian Tigress yang diundi dalam Kumpulan A akan berentap dengan pasukan Kazakhstan dan Iran.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button