Politik

Hishammuddin ingatkan UMNO tidak berpolitik merebut kuasa tiada kesudahan

KETUA UMNO Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada malam ini untuk memutuskan yang terbaik untuk rakyat dan parti.

Menteri Luar Negeri itu berkata, rakyat tidak mahu parti politik yang berebut kuasa seperti tiada kesudahan.

“Pemimpin UMNO diberi amanah mengetuai Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan menangani penularan COVID-19; mengetuai Kementerian Kesihatan yang memegang tanggungjawab besar memimpin petugas barisan hadapan negara; mengetuai Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang sedang berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin.

“Kita sepatutnya komited dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Pada hemat saya inilah harapan rakyat di bawah kepada pemimpin UMNO. Bukan berpolitik merebut kuasa yang tiada kesudahan. Akhirnya rakyat mual dan hilang keyakinan,” kata Hishammuddin yang terpanggil memberi kenyataan selepas beberapa siri konflik politik melibatkan parti itu.

Hishammuddin berkata, beliau akan akur sekiranya UMNO membuat keputusan bahawa semua menteri parti itu meletakkan jawatan dalam kerajaan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Sembrong itu berharap, parti tidak membuat pertimbangan bersandarkan emosi dan kesan jangka masa pendek dalam menentukan kerjasama dengan parti politik lain.

“Ini adalah kerana keputusan yang bakal dibuat parti akan menentukan jatuh bangunnya UMNO, memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangan UMNO, dan juga kedudukan UMNO dalam pilihanraya yang akan datang.

“Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, parti harus putuskan dengan siapa UMNO akan bekerjasama menjelang PRU15. Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian?” soal Hishammuddin dalam satu kenyataan.

Hishammuddin menegaskan, UMNO mesti melakukan perancangan kerjasama politik UMNO dengan teliti penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.

UMNO seharusnya parti mengambil iktibar bahawa UMNO melalui Barisan Nasional hanya menang 79 kerusi pada PRU-14 berbanding 133 kerusi pada PRU-13.

“Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf dari pengalaman ini. Tambahan, kita masih berperang dengan COVID-19.

“Kes harian masih tinggi. Negara juga sedang dilanda banjir. Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat.

“Parti UMNO sedang diberi peluang untuk buktikan kepada rakyat bahawa pemimpin kita prihatin, berkemampuan, dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis dan menitikberatkan kepentingan rakyat,” tegas Hishammuddin.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button