NasionalRencah Hidup

Hinanya pencarum KWSP mangsa banjir di mata Kadir Jasin

KATA Kadir Jasin, bekas orang kuat dalam sebuah organisasi media selain penyokong kuat bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah tindakan tidak bermoral dan memalukan bagi mereka yang terkesan dalam banjir baru-baru ini.

KADIR JASIN

Beliau berkata demikian dalam laporan sebuah portal berita dan menambah, tidak ada hujah ekonomi dan moral untuk membolehkan pencarum berbuat demikian iaitu mengeluarkan duit dari KWSP.

Di manakah garisan tidak bermoral dan memalukan kalau pencarum memohon dalam situasi terjejas teruk kerana banjir, mengeluarkan duit KWSP milik mereka.

Atau mungkin nak dibandingkan antara bagi pinjam akaun untuk jutaan saham kepada adik oleh abang dengan pengeluaran duit pencarum dari KWSP sekali sahaja yang terkesan teruk akibat banjir. Yang manakah lebih memalukan dan tidak bermoral?

Kadang-kadang orang yang berada di atas atau pun pernah duduk kerusi atasan dalam sesebuah organisasi, sedap sahaja mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan natijah kepada golongan marhaen.

Kalau ya pun Kadir Jasin ni ada simpanan KWSP berjuta ringgit disebabkan tempoh beliau bekerja begitu lama, janganlah dikatakan pengeluar yang mengeluarkan duit KWSP ini suatu yang tidak bermoral dan memalukan.

Bukannya minta nak keluarkan dari akaun KWSP Kadir Jasin pun.

Dalam keadaan hidup hari ini, ada dalam kalangan kita yang amat terdesak untuk menggunakan duit dari caruman yang telah dibuat kepada KWSP.

Faktornya di sini ialah pencarum yang mahukan RM10,000 pengeluaran i-Citra semestinya mempunyai sebab tersendiri untuk pengeluaran.

Memang dalam kalangan kita yang bukan penjawat awam, tidak berpencen dan duit caruman dalam KWSP itulah duit untuk hari tua.

Betullah macam Kadir Jasin kata. Bukan simpanan atau pelaburan biasa.

Beliau mahu kerajaan hulurkan bantuan kepada rakyat. Tiada pula rakyat dipaksa untuk menggali duit dari KWSP tetapi apabila rakyat yang memerlukan, mahu mengeluarkan, kenapa dikatakan tidak bermoral dan memalukan?

Cuba letak diri di tubuh mangsa banjir yang terkesan teruk baru-baru ini. Ya, ada BWI dari Kerajaan, ada baucar, ada bantuan RM1,000 kepada ketua keluarga yang terjejas banjir dan sebagainya.

Namun isu pengeluaran khas i-Citra RM10,000 secara sekali keluar, adalah hak pencarum dan tidak perlu dipolitikan oleh mana-mana parti politik atau pemimpin parti.

Kita yang tidak berpencen tahu dan sedar duit dari KWSP itulah juga untuk digunakan apabila sakit demam tetapi ada juga yang tidak sempat menggunakan duit itu kerana dipanggil menghadap Ilahi.

Tidak merasa duit KWSP sendiri sedangkan kerja bertahun-tahun, taat pada kerja, tahan telinga kena maki dengan bos dan akhirnya, kalau sudah ditakdirkan tidak merasa duit KWSP, tidak merasalah jawapnya.

Pengeluaran dari KWSP memang dipantau iaitu akaun akaun 1 dan akaun 2 yang mana, duit dalam akaun 1 itulah jangan diusik. Kalau ada dalam akaun 2 dan tidak sampai had umur pengeluaran, bolehlah digunakan.

Kata orang, tampung perbelanjaan sedikit sebanyak dan tiada siapapun dalam kalangan kita mahu susah di hari tua. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button