Hina orang asli: Siti Sarah menangis depan Tok Batin
SUSULAN video kontroversi yang tular berkenaan ayat Siti Sarah yang dikatakan seolah-olah menghina golongan orang asli, penyanyi itu malam tadi membuat permohonan maaf di hadapan Tok Batin.
Video pertemuan dengan Tok Batin di Batu 12, Gombak itu turut dimuatnaik di akaun Instagram milik penyanyi itu.
Sarah yang popular dengan lagu Kesetiaan pada malam itu mengalirkan air mata di hadapan Tok Batin ketika mengakui kesilapan yang tidak disengajakannya.
“Saya dengan rendah hati, menyusun 10 jari memohon maaf kepada masyarakat Malaysia terutama kepada 18 suku kaum orang asli di atas kekhilafan diri saya yg menguris hati masyarakat orang asli.
“Sesunguhnya tidak terlintas dan terniat untuk saya melukakan hati orang asli apatah lagi sebagai manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya.
Menurut Sarah lagi, dia kesal dengan apa yang berlaku serta berharap apa yang terjadi itu akan menjadi pengajaran bukan kepadanya sahaja, tetapi juga masyarakat di luar.
Sementara itu, suami kepada Sarah yang juga seorang pelawak, Shuib memuji tindakan isterinya yang berani ke hadapan untuk menjernihkan keadaan.
Beberapa rakan artis seperti Achey, Nora Danish, Adira dan Haiza antara yang turut memberi sokongan moral terhadap permohonan maaf penyanyi itu.
Isu video Sarah seolah-olah menghina orang asli tular di laman sosial hingga mendapatkan kecaman netizen yang menganggap penyanyi itu tidak sensitif bila menyentuh fizikal komuniti tersebut. -SM