Hilang kuasa, Melayu hilang segala-galanya
Keseluruhan orang-orang Melayu harus fahami kepentingan untuk mengundi sekiranya mahu menjaminkan kuasa politik kita berkekalan serta terus kuat.
Orang-orang Melayu kena ingat bahawa kita sudah hilang kuasa ekonomi dan sehingga kini masih gagal untuk merampas semula kuasa tersebut walaupun negara sudah ditadbir oleh sepuluh orang Perdana Menteri Melayu.
Ini juga membawa erti sekali kita hilang sesuatu kuasa maka kita akan hilang buat selamanya.
Apa yang membimbangkan kita lagi ialah sikap orang-orang Melayu yang tidak mengambil berat akan kepentingan untuk mengundi bagi mempertahankan seterusnya memperkukuhkan kuasa politik Melayu.
Kuasa politik Melayu semakin terhakis sedikit demi sedikit kerana perpecahan politik di kalangan orang-orang Melayu.
Parti-parti politik Melayu terlalu banyak di tanahair kita ini.
Walaupun orang-orang Melayu sudah menolak PH-BN dan memberi sokongan mereka pada PN tetapi akhirnya sikap tidak mahu keluar mengundi menyebabkan PN tewas pada PRK di Pulai serta Simpang Jeram.
Namun, kita tidak menafikan jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu di Parlimen Pulai serta DUN Simpang Pulai hampir sama banyak.
Kedua-dua kawasan ini adalah kubu kuat PH di bawah parti AMANAH.
Keputusan PRK Pulai dan Simpang Jeram tidak akan jadi begini sekiranya orang-orang Melayu sedar tentang kepentingan untuk keluar mengundi secara beramai-ramai.
Inilah yang merunsingkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang hampir setiap hari mengingatkan orang-orang Melayu mengenai kepentingan mengundi bagi menjaminkan kuasa politik Melayu terus kekal malahan semakin kuat.
Gelombang sokongan Melayu pada PN sudah cukup kuat tetapi sikap ‘tidak apa’ orang-orang Melayu masih berada di tahap yang membimbangkan.
UMNO sendiri sudah mengaku bahawa pada PRK Pulai dan Simpang Jeram PH-BN hilang hampir 27,000 undi orang-orang Melayu.
Situasi ini amat membanggakan kita kerana perjuangan atas dasar Melayu yang sedang diperjuangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semakin membuahkan hasil.
Jutaan terima kasih kepada pengundi-pengundi Melayu di Pulai dan Simpang Jeram yang keluar mengundi PN tetapi dalam masa yang sama orang-orang Melayu yang tidak keluar mengundi di PRK Pulai serta Simpang Jeram dapat melihat secara jelas bahawa parti politik berteraskan perjuangan Melayu tulen akan tewas jika orang-orang Melayu terus tidak mahu keluar mengundi.
Sesungguhnya, orang-orang Melayu jangan mimpi PH-BN akan berani mempertahankan hak-hak orang-orang Melayu secara mampan kerana mereka berpegang kuat pada konsep kepelbagaian kaum, liberal dan sekular.
PH-BN sudah takut untuk membela orang-orang Melayu secara jelas kerana masa depan politik mereka terpaksa bergantung pada undi dari pengundi-pengundi bukan Melayu.
Sekarang sekiranya kita bercakap mengenai orang-orang Melayu Kerajaan Madani melabelkan itu sebagai perkauman dan rasis.
Inilah kegilaan PMX dan Kerajaan Madani di tahap ‘gaban’ yang sesiapa pun tidak boleh tandingi.
Kini, amat jelas orang-orang Melayu semakin kuat menolak PH-BN dan ‘Malay Votes Bank’ sudah bersama PN secara mantap.
Cuma orang-orang Melayu kena ada perubahan sikap mengenai kepentingan keluar mengundi secara seratus peratus di masa-masa akan datang sekiranya tidak mahu melihat anak cucu kita bakal merempat di tanahair sendiri.
Ikhlas dari,
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Pengerusi
Mobilisai Proklamasi Orang Melayu
11 September 2023