Nasional

Hidup Orang Asli tak pisah dengan hutan jangan ‘cengkam’ lagi kehidupan mereka

SEORANG pemimpin Orang Asli meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan pengkelasan hutan simpan kekal bagi kegunaan masyarakat Orang Asli agar etnik itu tidak berterusan ditindas di tanah adat mereka sendiri.

Wakil Orang Asli di Dewan Negara, Senator Ajis Sitin menyifatkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang diluluskan pada 8 Ogos hanya menambah lagi cengkaman terhadap Orang Asli susulan peningkatan kompaun bagi semua kesalahan hutan termasuk bagi aktiviti masyarakat itu.

Bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu berkata, hakikatnya masyarakat itu tidak boleh dipisahkan dengan hutan yang membekalkan sumber makanan, kayu untuk membina rumah selain menjadi “klinik” bagi kesihatan mereka.

“Bila demam, mereka masuk hutan cari herba dan cendawan untuk jadi ubat … sumber makanan pun banyak seperti binatang buruan, ikan dan sayur, hutan umpama pasar raya bagi mereka,” katanya kepada FMT.

Pada sidang Dewan Negara 8 Ogos lalu, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju berkata, Orang Asli yang tinggal di hutan simpan kekal tidak dibenarkan membawa keluar hasil hutan untuk tujuan komersial.

Mengulas lanjut, Ajis berkata, Akta Perhutanan 1984 yang memperkenalkan konsep hutan simpan kekal membataskan kehidupan Orang Asli kepada aktiviti ekonomi tradisional mereka yang menjual hasil hutan secara kecil-kecilan bagi menyara kehidupan, bukannya secara komersial atau besar-besaran.

“Kerajaan seharusnya benarkan Orang Asli tingkat taraf ekonomi kerana mereka berjualan bagi menyara hidup. Ini dapat kurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau juga berpendapat, Orang Asli tidak seharusnya dikenakan cukai untuk mengutip herba dan buah-buahan hutan selagi bukan melibatkan aktiviti pembalakan.

“Permit kebenaran untuk memasuki semua jenis hutan simpan kekal menggunakan jalan hutan dan lain-lain permit hendaklah tidak terpakai bagi Orang Asli,” gesanya yang mahu RUU tersebut dikaji lebih teliti, dengan mengambil kira kelangsungan hidup masyarakat Orang Asli.

Katanya, undang-undang berkenaan turut menghimpit kehidupan Orang Asli kerana banyak penempatan mereka dijadikan hutan simpan kekal, menyebabkan kawasan didiami tidak boleh dibangunkan dengan pelbagai kemudahan.

“Dalam keadaan itu, kawasan berkenaan tidak boleh dijadikan rizab Orang Asli. Apabila tidak diwartakan maka tidak boleh dibangunkan. Jalan, rumah, elektrik, air bersih, sekolah dan klinik tidak boleh dibina.

“Masyarakat Orang Asli juga jadi penghuni haram di atas tanah adat sendiri dan terus hidup dalam keadaan daif,” katanya yang menolak usul itu ketika dibahaskan di Dewan Negara.

Pada 8 Ogos, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata, pindaan akta itu memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button