Hayati, hargai nikmat kemerdekaan – Pemangku Raja Perlis
KANGAR 12 Sept. – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak semua mengenang, menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan ya g dikecapi sehingga hari ini.
Ini termasuklah menghargai pengorbanan mereka yang telah berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan negara yang kita warisi ini perlu dipelihara oleh setiap rakyat dengan penuh patriotik. Ia adalah warisan berharga yang berhak dinikmati oleh semua generasi pewaris.
Pada masa yang sama hargailah keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia dalam mengharungi pelbagai dugaan dari dahulu.
Demikian titah Tuanku Pemangku Raja selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Nurus Said Santan dekat Kangar.
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyerahkan sumbangan kepada seramai 70 orang asnaf terpilih dari kariah Santan dan 70 orang lagi dari kariah Mata Ayer yang menerima wang tunai sebanyak RM700 setiapnseorang untuk menampung keperluan harian yang berjumlah penuh RM98,000 daripada MAIPs pada kali ini.
Para asnaf yang hadir turut berpeluang untuk melakukan saringan kesihatan secara percuma, mendengar ceramah daripada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ daripada para pegawai MAIPs.