HAWANA 2024: Meluruskan sikap kerajaan, menjitukan kewartawanan dan menjernihkan pemikiran masyarakat
HARI Wartawan Nasional (HAWANA 2024) yang bermula di Kuching Sarawak hari ini, mempunyai tugasan yang sangat besar dan berat.
Selain mengumpul para “kepala” mereka, ia harus mampu meluruskan sikap pemerintah, pemahaman etika kewartawan dan menjernih pemikiran masyarakat.
Seperti kita semua sedia maklum, bahawa pemerintah yang ada hari ini, asalnya sebuah armada pembangkang yang berpuluhan lamanya.
Langkahnya masih sumbang dan tidak lancar sebagaimana dikehendaki oleh masyarakat umum, termasuklah dalam kalangan media.
Kadangkala kelihatan media tidak sehaluan dengan kerajaan dan pertembungan itu sangat ketara. Walaupun usaha dilakukan dengan gigih, namun tidak mudah untuk mempertemukakan titik yang setara.
Dalam situasi semasa peranan kerajaan bukan hanya mendengar kelompok pendesak dalaman parti, tetapi mereka perlu mendengar rintihan rakyat keseluruhannya dan ini termasuklah apa yang dirungutkan oleh pemain industri media yang susah berada di fasa senja.
Untuk mendengar nyayian indah burung tiong sahaja bukan itu caranya, tetapi perlu juga mendengar keluhan burung balam.
Kerajaan bukan sahaja memastikan media menyokong agenda negara, tetapi perlu sama memperkasakan media yang semakin hanyut dibadai arus kebangkitan media sosial.
Jika ini tidak ditangani suatu hari ini tidak mustahil pemikiran masyarakat ditentukan oleh media sosial yang mempunyai prinsip serta etika dan sudah pastinya sukar dikawal oleh kerajaan.
Dalam pada itu pengamal media perlu memperbetulkan niat masing-masing dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi fahaman sempit yang dibelenggu oleh politik dan sebagainya.
Walapun pernah bertugas dengan media kerajaan terdahulu, mereka harus menerima hakikat kini tampuk pemerintahan sudah berubah dan tidak perlu berterusan menyerang kerajaan tanpa asas yang jelas serta bermotifkan mengelirukan masyarakat.
Di sinilah media harus faham dan berpegang teguh dengan asas integriti di dalam melaksanakan tugas. Hanya dengan keteguhan integriti ini mampu mengembalikan keyakinan kerajaan dan masyarakat terhadap peranan masyarakat.
Mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’, Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 selama tiga hari bermula hari ini di Kuching, Sarawak bakal mengangkat sekali lagi nama Malaysia ke pentas media antarabangsa.
Setakat ini, wakil media antarabangsa yang mengesahkan kehadiran mereka ke HAWANA 2024 adalah dari Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor Leste, Vietnam, China, Korea dan Qatar.
Namun, sambutan HAWANA kali ini tidak seharusnya dibayangi dengan Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 disiarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), meletakkan Malaysia pada tangga ke 107.
Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua di belakang Thailand, berada pada tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).
Realitinya, tahap kebebasan media di Malaysia tidaklah begitu teruk seperti dikongsi RSF kerana ia dibuat berdasarkan maklum balas responden mengisi sejumlah dokumen atau kaji selidik.
Sebenarnya tidak begitu jelas tahap ‘kebebasan media’ ditetapkan RSF atau sepatutnya dipatuhi pihak berkuasa mengawal media di negara ini. Adakah ia bersandarkan standard kebebasan acuan negara Barat atau sekadar mengikut selera mereka berdasarkan prinsip hak dan kebebasan bersuara blok di sana.
Jika dilihat kepada rekod kawalan atau sekatan media dilaksanakan kerajaan, jelas sekali ia lebih kepada bentuk teguran dan nasihat seperti ‘bapa dengan anak’ supaya tidak melanggar ‘garis sempadan’ di samping bertujuan memelihara keharmonian rakyat serta kestabilan negara.
Hakikat boleh dilihat, tiada wartawan, pengamal atau organisasi media dikenakan tindakan undang-undang keras apatah lagi dihumban ke penjara disebabkan laporan mereka terbit dan siarkan. Dalam kata lain, ‘kami pengamal media Malaysia berpegang teguh etika kewartawanan’.
HAWANA 2024 juga patut menjadi platform pengamal media mencari jalan bagaimana hendak memastikan industri ini tidak menjadi sunset industry, dapat terus hidup, segar dan kukuh walaupun sikap, sentimen dan budaya pembaca hari ini berubah kepada mesra berita digital.
HAWANA 2024 wajar menjadi wadah meningkatkan kesedaran khalayak pembaca untuk berfungsi sebagai masyarakat ‘memberi dan menerima’, berlapang dada melanggan akhbar digital secara konsisten, tanda menghargai serta menyanjung pengorbanan pengamal media berusaha menyajikan kandungan berita lengkap, padat, menyeluruh, benar dan berfakta setiap detik, minit, jam, tujuh hari seminggu.
Khalayak pembaca yang sudi ‘memberi dan menerima’, melanggan kandungan media digital bukan saja membantu menghidupkan industri media ini, bahkan mengukuhkan rantaian ekonomi negara dan paling utama memastikan kebajikan pengamal media serta keluarga mereka terjamin.
Moga HAWANA kali ini berjaya merangkul semua pihak untuk mencapai satu matlmat yang sama iaitu memperkasakan media dan memperkasakan negara.