Hati-hati dengan penipuan Ai
MASYARAKAT diminta berwaspada dengan taktik penipuan menggunakan penyebaran video dan imej palsu atau ‘deepfake’ yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini, beliau berkata penggunaan AI sememangnya membantu pembangunan negara, namun ada pihak yang menyalahgunakan teknologi berkenaan.
“Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam posting di Instagram beberapa hari lepas terima panggilan, dan tunjukkan (satu) panggilan WhatsApp video seolah-olah dia yang bercakap, rupa-rupanya ‘deepfake’ yang dibuat secara live.
“AI boleh diguna untuk kebaikan dan kejahatan. Kita perlu waspada maklumat diterima dan pastikan sebarang video diterima adalah benar (tulen) atau dihasilkan melalui aplikasi AI,” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menguar-uarkan mengenai bahaya taktik penipuan menggunakan deepfake AI ketika ini.
Semalam penyanyi nombor satu negara itu dilaporkan mendedahkan taktik terkini digunakan ‘scammer’ yang dipercayai menggunakan teknologi AI bagi meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan.
Sementara itu Fahmi berkata beliau akan bertemu dengan semua pengendali media sosial di Singapura pada bulan ini bagi membincangkan beberapa perkara termasuk mengenai bahaya Al di platform mereka.
“Saya harap (deepfake Al) dapat ditangani oleh pihak Meta kerana WhatsApp adalah di bawah tanggungjawab Meta,” katanya.
Beliau turut menyarankan semua kementerian memanfaatkan penggunaan Al dalam tugasan dan meminta Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) menyelaras kursus teknologi berkenaan.
“Al mampu bantu bukan hanya untuk hasilkan content tetapi beberapa aspek lain seperti tugasan dalam aspek coding, programming, teliti data, dan ada beberapa perkara lain boleh dimanfaatkan Al,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Kredit – BERNAMA
Artikle Berkaitan :>
Association of International IOT entrepreneur’ bakal cipta bandar teknologi Ai