Hasrat Mohamad Firdaus sambut Aidiladha tidak kesampaian
HASRAT Allahyarham Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarganya tidak kesampaian selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ranau – Tamparuli, Sabah, pada Selasa lepas.
Bapanya, Mat Izan Mohayat, 53, berkata, anak sulungnya agak pendiam namun dia seorang yang baik, hormat kepada orang tua serta ringan tulang.
Beliau berkata, Mohamad Firdaus yang merupakan anak pertama daripada empat beradik sering berhubung dengan keluarga di Semenanjung dan kali terakhir berhubung menerusi panggilan video pada pagi 1 Syawal lalu.
“Hampir satu jam jugalah kami berbual dengannya dan arwah ada menyatakan hasrat untuk pulang pada Aidiladha bulan hadapan dan meraikannya dengan kami semua.
“Bagaimanapun hasratnya tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam tugasan sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya ketika ditemui BERNAMA di kediamannya, di Taman Puteri, hari ini.
Jelas Mat Izan, arwah yang menganggotai pasukan keselamatan itu merupakan harapan kepada mereka sekeluarga.
“Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang besar buat kami sekeluarga dan kami pasti akan merindui saat arwah pulang ke kampung.
“Walau apa juga yang berlaku, kami semua kena reda dengan pemergiannya dan menganggap ada hikmah di sebalik yang berlaku,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham Mohamad Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan, pada pukul 4 petang tadi setelah tiba di kediamanan bapanya sejam sebelumnya.
Pada Selasa lepas, tiga anggota TLDM dari Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan di Ranau. – SM