Sukan

PKP: Sesi latihan yang tidak akan dilupakan oleh Kisona

KEM latihan secara dalam kuarantin di Akademi Badminton Malaysia (ABM) menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup bagi pemain badminton wanita negara yang sedang meningkat naik, S Kisona.

Terasing dari dunia luar sejak 1 Jun lepas dan harus melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta perlu diikuti semasa menjalani latihan bersama dengan pemain-pemain di bawah program Road to Tokyo (RTT), pastinya akan menjadi kenangan kepada semua atlet termasuk Kisona.

Pemenang pingat emas Sukan SEA berusia 21 tahun itu dapat menyesuaikan diri dengan suasana di kem dan rutin latihan yang diadakan selepas beliau terpilih untuk menjalani latihan di bawah program RTT di situ.

“Lebih-lebih lagi anda hanya mempunyai masa untuk berlatih dan berehat, selain itu kita perlu mempunyai penjarakan sosial dan mengikuti SOP sepanjang latihan.

“Latihan berjalan dengan baik, saya sangat menghargai peluang yang diberikan untuk berlatih bersama pemain-pemain Program RTT (sementara atlet lain masih belum dapat memulakan latihan).

“Semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami mengekalkan kecergasan dan kekuatan berpandukan kepada program latihan dalam talian, jadi tidak ada masalah dari segi kecergasan.

“Bagaimanapun, semasa latihan di gelanggang beberapa teknik permainan saya tidak konsisten disebabkan lama tidak berlatih,” kata Kisona kepada BERNAMA ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Kisona, juara perseorangan wanita Sukan SEA Filipina 2019 lebih bersemangat menjalani latihan yang dikendalikan Indra Wijaya, Ketua Jurulatih Perseorangan Wanita yang baharu dilantik tiga minggu lepas.

“Kerja keras dan dedikasi beliau memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi lebih daripada apa yang pernah saya impikan.

“Dia adalah jurulatih yang prihatin dan memahami, benar-benar memberi kami semangat untuk terus bekerja keras,” kata pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan.

Kisona, pemain badminton wanita di ranking 92 dunia menyertai kem program RTT sebagai persediaan untuk menghadapi Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober selain menjadi rakan sepelatih untuk pemain nombor satu negara, Soniia Cheah. – SM

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button