pilihanPolitik

Hasan Rahman nafi sertai Bersatu

Bekas Ketua UMNO Bahagian Jasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman menafikan dakwaan beliau akan menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, beliau tetap berpegang kepada parti UMNO yang didokong sejak dulu serta tidak sama sekali akan meninggalkan parti keramat ini walaupun disisihkan di peringkat negeri dan bahagian.

“Ramai beranggapan kononnya saya sudah menyertai Bersatu bila tular sebuah foto di laman sosial Facebook apabila saya bergambar bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya hadir di rumah Muhyiddin atas pelawaan sempena Hari Raya Aidilfitri Rabu lalu bersama bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi
Leman.

“Apa salahnya saya hadir pada Hari Raya Aidilfitri ke rumah Muhyiddin? Dulu sewaktu beliau (Muhyiddin) menjadi Timbalan Perdana Menteri banyak meluluskan peruntukan pembangunan sewaktu saya menjadi ADUN Sungai Rambai,” ujarnya di sini hari ini.

Related Articles

Sehubungan itu Hasan yang juga Ketua UMNO Cawangan Sungai Rambai Timur sejak 30 tahun lalu berkata, sewaktu bertemu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak ada perbincangan untuk mempelawanya menyertai Bersatu.

Sebalik katanya, perbualan lebih berkisar kepada masalah kesusahan rakyat yang dihadapi kini berikutan kenaikan kos sara hidup.

“Hati dan jiwa saya tetap bersama UMNO. Tidak ada parti lain sehebat UMNO dan saya berdiri teguh dengan parti keramat ini walaupun ada pelbagai pihak mendakwa saya akan menyertai Bersatu,” ujarnya.

Jelasnya, walaupun tidak menjadi ADUN serta memegang sebarang jawatan penting di peringkat bahagian namun perjuangannya bersama UMNO tidak akan terhenti.

Ujarnya, beliau tidak kecewa apabila tewas dalam perebutan Ketua UMNO Bahagian Jasin Februari tahun lalu sebaliknya akan meneruskan perjuangan menerusi Pertubuhan Alumni 4B Malaysia.

Katanya, tumpuannya kini adalah untuk memperkasakan Alumni 4B selepas dipilih sebulat suara menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden yang akan diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Alumni 4B Malaysia 4 Mei ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button