Harimau, orang utan diberi dos kedua vaksin Covid-19
SEEKOR harimau Bengal bernama Charly dan orang utan Borneo bernama Sandai yang tinggal di Zoo Buin, di pinggir ibu kota Chile, Santiago, diberi suntikan vaksin Covid-19.
Charly, Sandai dan lapan lagi haiwan lain di Zoo Buin telah dipilih untuk kempen eksperimen vaksin Covid-19 kerana haiwan-haiwan itu adalah antara spesis yang dianggap berisiko tinggi untuk dijangkiti coronavirus.
Seperti yang diketahui, Covid-19 telah membunuh lebih 5.4 juta manusia setakat ini turut ditemui pada haiwan.
Covid-19 telah ditemui pada monyet, harimau, rusa, kera, cerpelai dan beberapa haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
Isnin lalu, Charly dan Sandai bersama dengan tiga singa, dua harimau lain dan tiga puma telah diberikan dos kedua vaksin Covid-19 eskperimen yang dikembangkan khusus untuk haiwan, tetapi belum tersedia untuk dijual.
Haiwan-haiwan itu telah menerima suntikan pertama mereka pada 13 Disember lalu.
“Ideanya adalah untuk melindungi haiwan yang paling mudah dijangkiti coronavirus sambil menguji sama ada vaksin itu menghasilkan imuniti, dan jika benar, kita juga mahu lihat berapa lama vaksin itu akan bertahan,” kata Sebastian Celis, ketua jabatan veterinar Zoo Buin.
Dalam pada itu, Singa di Singapura, Zagreb dan Washington, badak air di Belgium, harimau sumatera di Indonesia dan gorilla di Atlanta, Georgia, adalah antara haiwan kurungan yang dilaporkan dijangkiti virus itu sehingga kini.
Zoo Buin belum menguji haiwannya untuk coronavirus kerana tidak ada yang menunjukkan gejala.
Beberapa zoo di Amerika Syarikat sememangnya telah mengumumkan kempen vaksinasi untuk populasi haiwan mereka.
Hampir 90 peratus daripada populasi manusia di Chile yang berumur lebih daripada tiga tahun telah diberi vaksin sepenuhnya setakat ini dan 62 peratus telah menerima suntikan penggalak.
Chile adalah satu-satunya negara di Amerika Latin yang mula memberi vaksin kepada haiwan di zoo. – SM