Nasional

Harga cili merah mula turun RM19 sekilo – Nanta Linggi

HARGA cili di pasaran termasuk cili merah kulai, cili merah minyak dan cili akar mula menunjukkan penurunan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, sebagai contoh, harga purata cili merah kulai pada Disember tahun lepas adalah RM23 sekilogram (kg) namun minggu ini turun sebanyak 17 peratus kepada RM19 sekilogram.

Katanya, peningkatan harga sayur-sayuran seperti cili disebabkan oleh perubahan musim yang melanda negara dan faktor perubahan cuaca terlampau sejuk di daerah tanah tinggi pengeluar bekalan utama seperti di Cameron Highlands.

“Keadaan cuaca ini telah menyebabkan kualiti dan kuantiti sayur-sayuran berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan lawatan mengejut ke pusat pengumpulan sayur (jenis tanaman cili merah) di Telok Panglima Garang, Selangor, semalam.

Nanta berkata, penanaman cili di Malaysia sangat dipengaruhi  elemen cuaca, jenis tanah dan pasir dengan nilai Ph5.5-6.5 dan tahap kelembapan yang sederhana.

Menurut beliau lagi, luas fizikal ladang cili di Malaysia ialah 576.85 hektar dengan 204.45 hektar daripadanya adalah cili kulai.

“Penggunaan cili oleh pengguna Malaysia dianggarkan kira-kira 0.006 kg seorang sehari, 0.17 kg sebulan dan 2 kg setahun. Keperluan untuk setahun bagi 32.73 juta rakyat Malaysia ialah 65.46 juta kg,” katanya.

Beliau berkata, satu perbincangan akan diadakan dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengenai langkah strategik dan progresif untuk meningkatkan keupayaan petani cili tempatan daripada 45 peratus kepada satu tahap menguntungkan petani dan pengguna dari segi harga.

Sementara itu, Nanta berkata, sebanyak 320 premis peruncit dan pembekal telah diperiksa dalam Op Pasar 2021 (sayur-sayuran) yang dijalankan pada 12 hingga 21 Januari lalu.

“Sebanyak 337 notis bertulis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk memantau aduan dan dakwaan kenaikan harga dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan,” katanya.

Selain cili, harga bawang merah turut dijangka turun tidak lama lagi berikutan India telah  mengeksport semula bahan itu dan telah tiba di pelabuhan Malaysia, katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button