Hanya wakil rakyat, kakitangan dan petugas media bergejala perlu swab Covid-19
Persidangan Parlimen 13 Julai - 27 Ogos ini
PERSIDANGAN Dewan Rakyat akan berlangsung dari 13 Julai sehingga 27 Ogos.
Hanya wakil rakyat, kakitangan Parlimen dan petugas media yang bergejala perlu membuat ujian swab Covid-19 bagi menghadiri persidangan Dewan kali ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seperti institusi lain, parlimen juga hanya perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk tidak mewajibkan ujian swab.
“Parlimen juga akan patuh SOP yang ditetapkan dan SOP yang ditetapkan tidak termasuk swab tetapi saringan suhu, pemakaian mask (pelitup separuh muka) dan cuci tangan akan dipastikan dipatuhi.
“Hanya kalau ada gejala, kita laksanakan (swab),” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19, hari ini.
Sebelum ini, pada persidangan Dewan Rakyat 18 Mei lepas, semua wakil rakyat, kakitangan Parlimen dan petugas media diwajibkan menjalani ujian swab bagi menghadiri persidangan sehari itu. – SM