SELEPAS enam jam pintu sempadan Wang Kelian dibuka, sebanyak 12 pengembara (pelancong) dari Thailand menjadi kumpulan pertama masuk ke Malaysia hari ini.
Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Taib berkata, ia melibatkan enam lelaki dan enam perempuan.
“Kesemua penggembara ini telah melepasi semua prosedur SOP yang ditetapkan,”katanya.
Tinjauan SUARA MERDEKA mendapati, ada kalangan dalam kumpulan pertama ini kelihatan agak resah semasa beratur menunggu giliran di pos sempadan Imigresen.
Kemungkinan berlaku kebimbangan memandangkan pada sebelah pagi, ada beberapa orang warga Thai terpaksa berpatah balik kerana tidak memenuhi prosedur SOP.
Bagaimanapun masing-masing sedia mengimbas aplikasi kod QR MySejahtera di telefon bimbit bagi kemudahan dalam pematuhan prosedur SOP.
Setiap seorang juga melepasi setiap pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) dengan mudah sambil dibantu oleh petugas.
Sebaik selesai semua ini, semua mereka dibawa untuk menjalani ujian RTK di Pusat Swab Sempadan Antarabangsa Malaysia – Thailand di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian.
Sementara itu, salah seorang yang ditemui, Sapee Yaakob dari Pattani berkata, beliau bersyukur kerana dapat memasuki Malaysia dengan selamat.
“Saya akan ke Kuantan, Pahang untuk bekerja di sebuah restoran di sana,” katanya.
Beliau berkata, sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia pulang ke kampungnya.
Sapee memberitahu dia telah melakukan PCR yang diwajibkan itu di Hatyai. – SM