Hampir 80,000 kenderaan masuk Perlis menjelang Aidilfitri
BANJIR kenderaan akan melanda Perlis Indera Kayangan menjelang Hari Raya Aidilifitri tahun ini apabila dijangka antara 60,000 hingga 80,000 kenderaan akan memasuki Perlis.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, jangkaan ini berdasarkan kepada kira-kira 30 peratus daripada penduduk di Perlis yang bekerja di luar dari negeri ini.
Surina berkata, semua yang berada di luar akan balik kampung setelah hampir dua tahun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sebanyak 1,200 anggota akan bertugas di sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri tahun ini,” katanya.
Terdahulu, Surina melancarkan majlis Op Selamat 18 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 Kontinjen Perlis di hadapan pintu masuk utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, pagi tadi.
Surina juga turut menyampaikan cederamata dan juga topi keledar kepada pengguna jalan raya.
Dalam ucapannya, Surina mengingatkan supaya pengguna sentiasa mematuhi undang-undang apabila berada di jalan raya.
“Sekali lagi saya mengingatkan jangan sesekali melakukan lima kesalahan yang biasa dilakukan pengguna jalan raya pada musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata, ia termasuk memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat.
Tambah beliau, bagi kesalahan menggunakan alat telekomunikasi semasa memandu juga tidak akan dikenakan kompaun sebaliknya pesalah akan terus dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan. – SM