Hak Anwar untuk berbual dengan sesiapa saja
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas untuk berbual dengan sesiapa sahaja yang dia mahu termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dalam keadaan politik negara sekarang yang kian matang tidak ada siapa boleh menyekat mana-mana pihak untuk mengadakan pertemuan atau perbincangan antara pemimpin meskipun berbeza fahaman politik.
“Memandangkan landskap politik ketika ini berbeza daripada dahulu, apa salahnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbual bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim?
“Jika saya berjumpa Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) apa pula yang saya bincangkan, kadang-kadang tiada sebarang masalah dan boleh jumpa sesiapa pun.
“Macam dahulu UMNO sekejap bersama Pas dan sekarang Pas bersama Bersatu. Apabila Anwar berjumpa orang semua orang takut.
“Apa salahnya jika beliau berjumpa Perdana Menteri, kini, beliau berjumpa Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO, mungkin masing-masing ada cerita yang boleh diluahkan, ada strategi masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di Seremban hari ini.
Aminuddin mengulas pendedahan fail rakaman audio perbualan telefon yang tular di media sosial yang dikaitkan dengan Anwar dan Ahmad Zahid.
Ada yang mendakwa rakaman telefon itu berlaku beberapa jam selepas ucapan penggulungan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Pada perhimpunan itu Ahmad Zahid mendapat mandat untuk menentukan kedudukan UMNO dengan Perikatan Nasional termasukl menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan telefon antara diri beliau dengan Anwar.
Aminuddin berkata, apa sahaja yangh berkaitan hala tuju PKR ketika ini akan diserahkan kepada kebijaksanaan Anwar.
“Rakyat dilihat semakin bijak dalam menilai sebarang pemimpin dan pemimpin tidak harus memberi persepsi yang buruk. Ketika ini, macam-macam boleh terjadi dan saya serahkan kepada pemimpin di atas.
“Saya juga mahu menasihatkan agar masyarakat perlu bersangka baik dan melihat tugas pemimpin yang sentiasa proaktif. Jangan ugut pemimpin dan meminta pemimpin ‘melompat’,” katanya