Rencah Hidup

Guru Al-Quran buat kerja gila, ajar mengaji 24 jam

PENDAKWAH dan guru Al-Quran, Ustaz Uwais Qorny telah mencipta sejarah apabila program The 24 Hours Non Stop Uwais Qorny’s Online Talaqqi anjurannya diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR).

Lebih istimewa lagi, program tersebut mendapat dua pengiktirafan MBR iaitu sesi pembelajaran Talaqqi tanpa henti selama 24 jam dan jumlah penyertaan tertinggi untuk program Talaqqi yang diadakan secara maya dengan melebihi 17,000 penyertaan.

Uwais berkata, program Talaqqi anjuran Protaz International Sdn Bhd itu diadakan selama 24 jam melalui aplikasi Zoom, bermula 31 Disember 2021 dari jam 7.27 pagi sempena sambutan Tahun Baharu 2022.

“Sebenarnya idea untuk menganjurkan program ini adalah daripada pengikut di media sosial dan pelajar. Saya jarang adakan kelas Talaqqi sehinggalah satu hari saya ajak pengikut saya untuk sertai kelas Talaqqi yang berjaya tamat sebelum azan Subuh.

“Alhamdulillah ketika itu hampir 1,000 peserta masih setia bersama. Kemudian datanglah idea ini apabila nak buat kerja ‘gila’ menjelang tahun baru. Hanya dalam tempoh 10 hari untuk kami adakan program ini dan tak sangka mendapat maklum balas yang sangat positif daripada orang ramai.

Jelas Uwais, program berkenaan adalah usaha pihaknya untuk membantu umat Islam pandai mengaji dengan betul, memahami pengertian setiap bacaan sekali gus sebagai alternatif lain bagi menyambut tahun baharu.

“Lebih menggembirakan saya mendapat energi yang sangat hebat daripada peserta yang majoritinya dalam kalangan warga emas. Mereka ini sanggup ajak anak dan cucu untuk sertai sekali,” – Uwais Qorny.

Dalam pada itu, dia berharap agar penganjuran program terbabit dapat meningkatkan kesedaran umat Islam untuk terus memelihara keaslian bacaan al-Quran.

“Antara tujuan utama saya adakan program ini adalah nak beri kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya membaca al-Quran dengan betul selain memahami pengertian setiap bacaan. Jadi salah satu caranya adalah dengan bertalaqqi.

“Talaqqi secara mudahnya adalah berguru, dan jika dilihat masyarakat sekarang berguru melalui buku dan internet. Tetapi untuk membaca dan mempelajari al-Quran, perlu untuk pelajarinya dengan guru agar dapat menentukan sebutan dan tajwid yang betul.

“Saya harap peserta yang setia sehingga program ini tamat dapat menambah baik bacaan al-Quran mereka,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button