Gurauan bunga rampai Tengku Hasanal buat hal di majlis akad nikah adinda
SEMALAM berlangsungnya majlis istiadat diijab kabul Putera Diraja, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, dalam suasana penuh adat dan tradisi diraja.
Istiadat Akad Nikah Diraja tersebut diadakan di Istana Abdulaziz, Kuantan, sekitar pukul 8.50 malam, dihadiri oleh kerabat diraja dan tetamu terhormat.
Namun, apa yang mencuri perhatian ramai adalah gelagat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang dilihat bergurau dengan adindanya, Tengku Muhammad Iskandar, ketika istiadat merenjis.
Tengku Hassanal mencuit hati hadirin apabila meletakkan segenggam bunga rampai di tangan adindanya sambil tersenyum, mencetuskan suasana ceria.
Reaksi spontan Tengku Muhammad Iskandar dan isterinya, Tengku Natasya, yang mengenakan busana mewah rekaan pereka fesyen terkenal Indonesia, Hian Tjen, turut mengundang tawa dalam majlis tersebut.
Sebelum itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang anggun mengenakan persalinan hijau, hadir menyaksikan majlis akad nikah bersama paduka-paduka anakanda yang lain.
Keakraban antara Tengku Hassanal dan adinda-adindanya, termasuk Tengku Muhammad Iskandar, sering menjadi perhatian dan buah mulut netizen, dengan banyak momen indah mereka dikongsikan di media sosial.
Majlis perkahwinan diraja ini akan diteruskan dengan Istiadat berinai pada Jumaat, diikuti Istiadat Persandingan Diraja pada hari Ahad. Kedua-dua istiadat ini dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam dan akan disiarkan secara langsung melalui layar besar di Padang Bandaraya Kuantan (MBK) 1 serta Dataran Muzium Diraja di Pekan.