Guan Eng pula kecewa polis dapatkan perintah mahkamah halang Dong Zong
SELEPAS beberapa pihak melahirkan perasaan tidak puas hati kerana Polis Kajang mendapatkan perintah mahkamah menghalang kongres anjuran Dong Jiao Zong bagi membincangkan isu Jawi, hari ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula melahirkan rasa kecewa.
Malah Guan Eng membandingkan Kongres Organisasi Cina anjuran Dong Jiao Zong itu dengan Kongres Maruah Melayu yang dibenarkan penganjurannya dua bulan lepas.
Guan Eng berkata, jika Kongres Maruah Melayu dibenarkan mengapa tidak Kongres Organisasi Cina.
“DAP rasa kecewa dengan pihak polis, halang perhimpunan yang dijalankan oleh Dong Jiao Zong. Sekiranya dalam Malaysia baru, kita percaya kepada kebebasan bersuara, tidak ada sebab mengapa perhimpunan ini dihalang.
“Contohnya bila Kongres Maruah Melayu dibenarkan maka ini (Kongres Organisasi Cina) pun harus dibenarkan.
“Mungkin ada pihak yang tidak setuju dengan pandangan dikeluarkan tapi itu adalah salah satu aspek Malaysia baru,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program literasi kewangan hari ini.
Guan Eng berkata, mesyuarat Kabinet akan datang akan membincangkan perkembangan terbaru mengenai pembelajaran Jawi di sekolah vernakular, termasuk tindakan pihak polis, akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.
Sabtu lalu Polis Kajang berjaya mendapat perintah mahkamah bagi menghalang Dong Zong daripada meneruskan persidangan isu tulisan Jawi di sekolah vernakular yang dijadualkan berlangsung di sebuah kolej di Kajang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, permohonan perintah mahkamah itu adalah bagi diadakan adalah untuk mengelak berlaku gangguan kepada ketenteraman awam yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai di daerah ini,” kata
Susulah perintah mahkamah itu sekumpulan NGO yang mahu menganjurkan Perhimpunan Pertahan Tulisan Jawi bagi membantah persidangan penolakan tulisan jawi oleh Dong Zong turut membatalkan hasrat mereka untuk berhimpun di Stadium Kajang.
Sementara Kongres Maruah Melayu yang dihadiri Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pula berlangsung pada 6 Oktober lalu.
Kongres tersebut menjadi kontroversi dan dikritik oleh beberapa pihak kononnya didakwa menyebarkan kenyataan berunsur perkauman terhadap bukan Melayu.-SM