Politik

Guan Eng dakwa akhbar Cina kini dukung dasar PN

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa, media arus perdana utama berbahasa Cina kini beralih arah dengan memberi lebih banyak ruang kepada Perikatan Nasional berbanding pembangkang.

Menurut Guan Eng, sejak Perikatan Nasional mengambil alih pentabiran kerajaan beberapa orang wartawan kanan media arus perdana utama berbahasa Cina kini memainkan peranan yang aktif dalam mendukung dasar-dasar Perikatan Nasional.

Ini bertentangan ketika era pemerintahan Pakatan Harapan, media arus perdana utama bahasa Cina memberikan ruang liputan yang lebih besar kepada parti-parti pembangkang.

“Sebelum pertukaran Kerajaan Persekutuan, media arus perdana bahasa Cina utama akan memberikan ruang liputan yang lebih besar kepada parti-parti pembangkang berbanding kerajaan PH.

“Namun, selepas kerajaan PN mengambil alih, keadaan menjadi terbalik. Malah, beberapa orang wartawan kanan mereka memainkan peranan yang aktif mendukung dasar-dasar PN,” kata Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa, perubahan ‘sikap’ media arus perdana utama bahasa Cina adalah kesan tindakan kerajaan terhadap media ketika ini termasuk tindakan ke atas Al Jazeera, Astro dan Unifi TV.

Guan Eng mendakwa tindakan ke atas ketiga-tiga agensi media itu mempunyai kesan yang buruk terhadap prinsip kebebasan akhbar dan maklumat serta ke atas profesionalisme pengamal media.

“Ini kerana, demi mengelak daripada tindakan perundangan di masa depan, pengamal media akan terpaksa mengamalkan tapisan kendiri.

“Keadaan ini sudah terbukti bukan setakat dalam media arus perdana bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, malah dalam media bahasa Cina,” kata Guan Eng.

Dua hari lalu polis melakukan pemeriksaan mengejut ke atas pejabat stesen penyiaran antarabangsa Al Jazeera.

Selain Al Jazeera, pemeriksaan turut dijalankan terhadap Astro dan Unifi TV yang turut memaparkan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pemeriksaan dijalankan selepas pihaknya menerima waran untuk melakukan penggeledahan dari Jabatan Peguam Negara.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Guan Eng mendakwa, tindakan terhadap Al Jazeera, Astro dan Unifi TV menunjukkan bahawa PN tidak mempedulikan prinsip kebebasan akhbar dan maklumat.

“Mereka lebih berminat untuk membungkam suara alternatif bagi memaksa pematuhan dan mewujudkan iklim autoritarian yang tidak boleh menerima sebarang kritikan, waima pandangan yang bernas.

“Demi kepentingan awam, kerajaan perlu menghentikan tindakan sedemikian serta merta jika PN betul-betul komited untuk mendukung demokrasi, akauntabiliti dan ketelusan,” kata Guan Eng.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button