AHLI Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiauasaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dicapai selepas pertemuam bersama Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama ahli-ahli Parlimen GPS yang lain.
“Kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan
sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.
“GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan sebagai satu tindakan berani dan bijak serta pendekatan terbaik berlandaskan perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Alexander, GPS turut menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik serta cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman Covid-19 adalah sesuatu yang akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.
Jelasnya, keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepat proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara
“GPS berharap semua pihak menghentikan dahulu politiking dan semua Ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan,” katanya. -SM