Gilap pemimpin dari bangku sekolah – Pemangku Raja Perlis
PULAU PINANG – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagi melahirkan barisan pemimpin atau individu yang bakal menggalas tugasan serta tanggungjawab yang besar pada masa hadapan perlu dilatih dan digilap potensi kepimpinan mereka sejak dari peringkat sekolah.
Baginda bertitah, usaha ini bagi melahirkan generasi kepimpinan di kalangan anak Perlis yang kompetitif dan unggul. Ia adalah selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk mengembangkan lagi potensi individu dengan melahirkan insan-insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
“Sempena bulan kemerdekaan dengan tema ‘Jiwa Merdeka’, maka saya menyeru para peserta untuk menginterpretasikan semangat patriotisme dan cinta negara melalui pelbagai aspek pemikiran, integrasi, sosial dan ekonomi. Seterusnya membentuk satu penyatuan rakyat yang kukuh, harmoni dan progresif bagi melambangkan kesejahteraan secara holistik’, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis Perasmian Penutupan Bengkel Ke Arah Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self Esteem Development) Untuk Pelajar Terbaik, Cemerlang dan Pengawas Terpilih Di Negeri Perlis 2024 di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, Pulau Pinang.
Keberangkatan tiba Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Turut hadir sama adalah Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Bengkel ini telah ditaja oleh Yayasan Bank Rakyat dan dianjurkan dengan kerjasama YTSP Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Seramai 101 orang pelajar tingkatan empat yang mewakili 30 buah sekolah menengah di negeri Perlis selama 3 hari bermula 27 Ogos sehingga 29 Ogos 2024.
Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik selama 3 hari bengkel ini berlangsung termasuklah perkongsian dan aktiviti kumpulan yang berkaitan dengan Kualiti Kepimpinan, Kerja Berkumpulan Kepimpinan, Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia, Kefahaman Perlembagaan dan Pemerintahan Negara Malaysia, ‘Improve Your English’, Forum Ke Arah Masa Depan Kerjaya Yang Cemerlang.
Antara objektif perkongsian-perkongsian ini adalah untuk mengaplikasikan kemahiran pembelajaran pelajar dan sahsiah pelajar serta mencungkil bakat kepimpinan dan semangat kerjasama berpasukan terutamanya para pelajar bagi memajukan negeri Perlis pada masa akan datang.
Para peserta juga berpeluang menjalani aktiviti riadah suai kenal di tepi pantai, aktiviti ‘Island Tour’ di sekitar Pulau Pinang dengan menaiki feri bagi mengenali Pulau Mutiara ini dengan lebih dekat yang ditaja oleh Penang Port Sdn. Bhd.
Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan agar penganjuran bengkel seumpama ini dapat membantu melonjakkan kecemerlangan dan kemenjadian murid di Negeri Perlis. Baginda berharap agar para peserta membawa pulang ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat dan kongsikan bersama rakan-rakan di sekolah masing-masing.
(Foto : YTSP Perlis)