KADANG-kadang, dalam kita mengejar masa pasti ada barang yang kita terlupa untuk bawa bersama walaupun barangan itu sesuatu yang sangat penting.
Terbaharu, akaun Facebook Rapid KL memuat naik sekeping gambar di mana seorang daripada pengguna perkhidmatan tren telah tertinggal gigi palsu!
“Kepada yang tertinggal gigi palsu ketika menaiki tren 151 laluan Kelana Jaya sebentar tadi, sila hubungi kami untuk mendapatkan kembali barang anda. Terima kasih,” katanya.
Di ruangan komen, admin Facebook Rapid KL juga memberitahu yang pihaknya telah menyimpan gigi palsu tersebut sehinggalah barang itu dituntut pemiliknya.
Sementara itu, ruangan komen juga dibanjiri dengan emosi bercampur baur netizen kerana ada yang menganggapnya sebagai sesuatu yang lucu, tetapi ada juga yang berasa kasihan.
Seorang daripada netizen menganggap bahawa ketiadaan gigi palsu tersebut pasti akan menyukarkan pemiliknya apatah lagi kos untuk membuat gigi palsu juga memakan kos yang tinggi.
Setakat ini, belum ada perkembangan terbaharu sama ada pemilik gigi palsu berkenaan sudah menuntut semula giginya atau tidak. -SM