EkonomiNasional

Bank Rakyat tawar bantuan moratorium 6 bulan

BANK Rakyat menawarkan bantuan moratorium selama enam bulan kepada pelanggannya bermula hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, tawaran ini terbuka kepada pelanggan individu daripada golongan B40, M40 dan T20.

Beliau berkata, semua perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik Covid-19 juga layak memohon bantuan moratorium ini.

“Tiada dokumen diperlukan dan semua permohonan akan diberi kelulusan automatik sebaik sahaja diterima, tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak Bank.

“Selain itu, rekod laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan juga tidak akan terjejas sekiranya mereka memilih untuk menangguhkan bayaran pembiayaan mereka,” ujar beliau dalam kenyataannya hari ini.

Walau bagaimanapun, moratorium automatik ini hanya ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan tidak tertunggak lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan moratorium diserahkan kepada Bank.

Menurut beliau lagi, bantuan kewangan termasuk kemudahan moratorium yang disediakan oleh institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia dan pihak Kerajaan sedikit sebanyak telah meredakan kesan buruk yang melanda seluruh lapisan masyarakat terutamanya golongan yang tidak berkemampuan seperti B40 serta perniagaan mikro dan PKS.

“Setakat Jun 2021, Bank Rakyat telah menerima jumlah keseluruhan sebanyak 634,043 permohonan penangguhan bayaran pembiayaan daripada pelanggan individu serta perniagaan.

“Dan dijangka dengan pakej baharu moratorium yang diperkenalkan jumlah ini akan terus meningkat sekali gus dapat membantu memulihkan aliran tunai mereka yang terkesan ketika ini,” katanya.

Bantuan yang ditawarkan oleh Bank Rakyat adalah seiring dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

Sementara itu, Syed Abdul Aziz menyeru pelanggan yang menghadapi kesukaran membuat pembayaran pembiayaan untuk tampil dengan menghubungi pihak bank bagi mendapatkan bantuan awal dan khidmat nasihat.

“Bank Rakyat sentiasa prihatin dan komited dalam membantu pelanggan yang semakin terhimpit dengan beban kewangan lebih-lebih lagi semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan ramai mengalami pengurangan punca pendapatan,” tambah beliau.

Bermula 7 Julai 2021, pelanggan individu dan perusahaan mikro boleh memohon bantuan moratorium melalui borang elektronik yang disediakan di https://cv19- support.bankrakyat.com.my/.

Manakala pelanggan PKS boleh menghubungi pengurus hubungan Bank atau Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil Sederhana dan Koperasi (SME & Cooperatives (SMEC) Business Centre) bagi mendapatkan bantuan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800, layari laman web www.bankrakyat.com.my atau ikuti media sosial rasmi @myBankRakyat. – SM

(Visited 438 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button