Gempa Sulawei: 42 terbunuh, ratusan cedera
JUMLAH korban akibat gempa bumi di Indonesia dengan kekuatan 6.2 yang menggegarkan Sulawesi Barat pada hari Jumaat meningkat kepada 42 orang dengan ratusan orang cedera, kata pegawai penyelamat tertinggi.
Lebih dari 10,000 orang terpaksa dipindahkan ekoran gempa itu memusnahkan rumah, bangunan pejabat, hotel, hospital dan pusat membeli-belah di kota Mamuju dan daerah Majene, kata Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Bagus Puruhito.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional Raditya Jati pula mengatakan 34 orang terbunuh di kota Mamuju dan lapan di daerah Majene.
Pegawai itu memberitahu Xinhua dalam pesan teks bahawa gegaran itu juga merosakkan pelabuhan laut dan jambatan di wilayah itu, dengan 300 rumah musnah di daerah Majene.
Presiden Joko Widodo memerintahkan ketua agensi bencana, ketua polis dan komander tentera untuk segera mengambil langkah kecemasan mencari mangsa dan merawat mereka yang cedera dalam gempa tersebut.
Bantuan kecemasan juga telah dihantar ke kawasan yang dilanda gempa, kata Jati.
Ketua Operasi Pejabat Mencari dan Menyelamat di Sulawesi Selatan Muhammad Rizal, memberitahu empat pasukan penyelamat terlibat dalam proses pemindahan, lebih dari 400 orang mengalami kecederaan dalam bencana alam.
“Sebanyak 189 orang mengalami luka serius dan 214 yang lain cedera ringan di kabupaten Majene, masih belum diketahui jumlah orang yang cedera di kota Mamuju,” kata Rizal kepada Xinhua.
Lebih banyak unit peralatan mesin berat sangat diperlukan untuk membuang runtuhan, menurutnya.
Sementara itu, Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, Dwikorita Karnawati pada hari Jumaat memberi amaran kemungkinan berlakunya gempa kuat dan tsunami.
“Struktur bahan dan batu di bawah bumi tidak stabil atau lemah setelah 28 kali gegaran, dan ini boleh menyebabkan tanah runtuh di bawah air dan mencetuskan tsunami,” kata Karnawati.
Dia mengesyorkan agar orang ramai segera menjauhkan dari pantai ketika gempa kuat terjadi ketika tsunami dapat melanda dalam dua hingga tiga minit setelah gempa. – XINHUA