Nasional

“Garis Panduan Pekerja Gig (P-hailing) 2023” beri fokus kepada pekerja Gig p-hailing

KERAJAAN mewujudkan “Garis Panduan Pekerja Gig (P-hailing) 2023” yang memberi fokus kepada Pekerja Gig p-hailing atau penghantar makanan atau barangan yang menggunakan platform digital sahaja.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, garis panduan ini diwujudkan bertujuan untuk mengawal selia aktiviti pekerjaan gig di Malaysia yang merangkumi hak kepada upah, perlindungan sosial, kesedaran mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan mekanisme perundingan serta prosedur kekilanan (grievance procedure).

“Walaupun tiada dasar atau akta khusus yang bersesuaian setakat ini, Kerajaan terus mengambil langkah-langkah segera dengan melaksanakan mekanisme perlindungan sosial khusus untuk pekerja sektor tidak formal termasuk 6 pekerja gig iaitu di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789].

“Akta 789 diperkenalkan bagi memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri dengan izin self-employed di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri,” katanya pada majlis penutup Forum Nasional : Kerangka Kerjaya Industri Gig, hari ini.

Program tersebut khusus buat semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam Industri Ekonomi Gig.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut hadir ke program pada hari ini dan seterusnya melancarkan “Garis Panduan Pekerja Gig (P-hailing) 2023”.

Menurut Sivakumar, sehingga 30 Jun, baru-baru ini, 530,138 orang pekerja sektor tidak formal telah berdaftar dan aktif mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 151,363 orang adalah Pekerja Gig di mana 58,301 pekerja p-hailing dan 89,691 adalah pekerja e-hailing.

Untuk makluman, ekonomi gig merupakan satu segmen ekonomi yang semakin popular dalam kalangan generasi muda di Malaysia dan telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu.

Ekonomi gig didapati boleh memenuhi keperluan generasi muda terutamanya generasi Z yang bersedia untuk terlibat dengan sistem pasaran bebas di mana pekerjaan biasanya bersifat sementara dan fleksibel yang dipacu oleh teknologi digital.

“Selari dengan itu, ekonomi gig adalah merupakan salah satu komponen penting di bawah RMK12 di mana ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia menjelang 2025,” ujar beliau.

Sedar dengan keadaan tersebut, Kerajaan melalui Bajet 2023 telah memperuntukkan RM100 juta untuk menggalakkan ekonomi gig terus berkembang dalam pasaran pekerjaan.

Dan menyediakan keselamatan sosial untuk pekerja di sektor tidak formal termasuk pekerja ekonomi gig bagi menyokong aspirasi Agenda Negara iaitu PEMACUAN EKONOMI YANG TERANGKUM DAN MAMPAN. Sivakumar dalam kenyataannya berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk bekerja bagi tahun 2021 adalah 15.1 juta orang.

“Daripada jumlah tersebut, 2.64 juta orang bekerja dalam kategori pekerjaan 5 tidak formal di Malaysia di mana sebahagiannya merangkumi pekerja ekonomi gig.

“Sehingga kini, tiada peruntukan khusus dalam undangundang mengenai pekerja gig yang menjadikan pekerjaan mereka agak kabur,” katanya. – SM

BACA  Kerajaan sentiasa menjaga kebajikan penghantar makanan

BACA Isu e-hailing, p-hailing, rider atau Grab dapat perhatian serius PM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button