Gara-gara Israk Mikraj, ada umat Islam murtad semasa Rasulullah SAW masih hidup
AMAT malang bagi generasi hari ini apabila tiada sesiapa pun memperingatkan kepada mereka bahawa semasa zaman Baginda Rasulullah SAW hidup, ramai umat Islam memilih untuk murtad.
Semuanya kerana peristiwa Israk Mikraj yang mengatasi logik akal namun bagi mereka yang celik mata hati dan mengenal kebesaran Allah SWT, ia sesuatu yang cukup mengkagumkan.
Hal ini demikian kerana iblis telah berjanji untuk menyesatkan anak-anak Adam AS dan syaitan melaksanakan perintah itu tanpa kompromi sejak dari dahulu hingga kini.
Pada zaman Baginda Rasulullah SAW masih hidup, memang ramai masyarakat Arab meninggalkan agama nenek moyang mereka lalu memeluk Islam atas dasar trend, keluarga dan sebagainya.
Namun bagi mereka perjalanan Baginda Rasulullah SAW dalam satu malam dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjid al-Aqsa, Palestin adalah mustahil dengan kudrat seorang manusia.
Apatah lagi dari Masjid Al-Aqsa itu, Baginda Rasulullah SAW naik ke Sidratul Muntaha, bertemu para Nabi yang sudah meninggal dunia, melihat nikmat syurga dan azab neraka, ramai yang tidak percaya.
Keadaan ini membuktikan mereka bukan sahaja buta mata hati malah memiliki akal yang kurang cerdas apabila melupakan Allah adalah yang Maha Kuasa dan Maha Agung.
Walaupun pada zaman Rasulullah SAW, ada yang tidak percaya dan menuduh Baginda gila, dan ia berlaku kerana peristiwa penting dalam agama itu ditafsir menggunakan logik akal. – SM