Sukan

Ganding Pearly-Thinaah tumbangkan pasangan nombor satu dunia untuk ke suku akhir

PASANGAN beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah ,mara ke suku akhir All England apabila mengejutkan pasangan nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di pusingan kedua.

Pearly-Thinaah yang menduduki ranking dunia ke-15 bijak menggunakan kesempatan atas kecederaan yang dialami Jia untuk mencatat kemenangan 22-20, 21-16 dalam aksi yang berlanjutan sehingga 49 minit di Birmingham.

Ini adalah kemenangan pertama gandingan negara ke atas pasangan juara dunia empat kali itu selepas tewas dalam lima pertemuan terakhir.

Lebih manis, kemenangan itu umpama hadiah hari lahir buat Pearly yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-24 semalam.

Bagaimanapun Pearly jelas tidak mahu terbawa-bawa dengan kemenangan itu dan berpandangan ia mungkin disebabkan kecederaan yang dialami Jia.

“Memang kami menang, tetapi jelas kemenangan ini dibantu oleh kenyataan bahawa Jia Yi Fan mengalami kecederaan,” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan.

Sementara itu Thinaah berkata: “Kami hanya mengingatkan diri untuk fokus dan tidak terlalu fikirkan mengenai kecederaan lawan. Ini semua tentang melaksanakan strategi kami dengan baik dan mengurangkan kesilapan kami.”

Jia mengalami kecederaan buku lali selepas tergelincir di atas gelanggang ketika menewaskan pasangan Taiwan Hsu Ya Ching-Lin Wan Ching pada pusingan pertama Rabu lepas. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button