Gal Gadot harap permusuhan Israel, Palestin ditamatkan
Pelakon yang memainkan watak Wonder Woman terbitan Hollywood berharap negara Israel dan jirannya, Palestin dapat hidup bersama dengan aman.
Gal Gadot yang merupakan seorang model sebelum disunting untuk watak adiwira Wonder Woman berkata, Israel mempunyai hak untuk hidup sebagai sebuah negara yang bebas dan aman. Hak yang sama juga sepatutnya dinikmati oleh jiran mereka, Palestin.
Dalam ciapan di Twitternya, Gal Gadot amat berharap agar permusuhan yang telah berlangsung terlalu lama antara Israel dan Palestin dapat ditamatkan.
“Ini adalah kitaran jahat yang telah berlangsung terlalu lama. Israel berhak untuk hidup sebagai negara yang bebas dan aman. Jiran kita mempunyai hak yang sama.
“Saya mendoakan mangsa dan keluarga mereka, saya berdoa agar permusuhan yang tidak dapat dibayangkan ini berakhir, saya berdoa agar para pemimpin kita dapat mencari jalan keluar agar kita dapat hidup berdampingan dengan aman,” ciap Gol Gadot.
Gal Gadot lahir di Israel pada 30 April 1985. Ibunya merupakan seorang guru dan ayahnya merupakan seorang juruteknik di Israel.
Gal Gadot meraih gelar Miss Israel pada 2004 sekaligus membukakan jalannya menjadi seorang model.
Sebagaimana rakyat Israel yang lain Gal Gadod secara wajib menyertai pasukan tentera negara itu dan menjalani latihan sebagai anggota tentera simpanan selama dua tahun.
Sejak minggu lalu konflik berlaku antara penduduk Palastin dan Israel. Kekacauan bermula selepas berlaku pertikaian tahan membabitkan individu Israel dan penduduk Palestin di daerah Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.
Dua pertempuran pertama pada malam Jumaat, seramai 178 orang cedera dalam serangan Israel di Masjid Al-Aqsa dan daerah Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.
Daripada jumlah itu, 88 dibawa ke hospital di Baitulmaqdis, manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar
Dianggarkan seramai 80 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran malam kedua dengan polis Israel di Masjid Al-Aqsa.
Tunjuk perasaan pada malam kedua didorong cubaan individu Yahudi untuk mengambil alih rumah Palestin yang berdekatan di Baitulmaqdis Timur.
Susulan kejadian itu berlaku serangan roket dan bom antara Israel dan rakyat Palestin yang berada di Gaza. Kekacauan itu hingga kini menyebabkan lebih 40 nyawa penduduk Palestin terkorban dan 6 nyawa rakyat Israel melayang.-SM