Nasional

Gaji minimum RM1,500 baharu bakal diumumkan tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Semakan gaji minimum akan diumumkan tidak lama lagi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan bagaimanapun berkata pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan daripada RM1,200 akan dilakukan secara berperingkat.

“Kerajaan pada dasarnya bersetuju bahawa gaji minimum di negara ini dinaikkan kepada RM1,500. Bagaimanapun, kita sedang dalam usaha memuktamadkan perkara itu termasuk untuk menangani cabaran semasa sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Kami tidak mahu syarikat mengambil kesempatan (pengumuman kenaikan gaji minimum) untuk mengurangkan bilangan pekerja. Ini akan menggagalkan tujuannya sementara kami menyasarkan untuk mengurangkan lagi kadar pengangguran negara daripada 4.2 peratus kepada 4 peratus, ” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling-BN-Umno).

Saravanan memberi jaminan bahawa pengumuman mengenai semakan gaji minimum akan dibuat tidak lama lagi, bukannya pada akhir tahun seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Gaji bulanan minimum di 57 bandar dan pekan di Malaysia ditetapkan pada RM1,200 dan RM1,100 bagi kawasan yang tidak dianggap sebahagian daripada bandar dan pekan.

Terdahulu, Saravanan berkata kerajaan menerima permintaan beberapa pihak untuk menyegerakan pelaksanaan kenaikan gaji minimum berikutan keadaan ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata gaji minimum baharu itu akan dilaksanakan selepas mengambil kira keperluan rakyat dan keupayaan majikan.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dilaporkan pada 3.6 peratus pada suku keempat 2021.

“Pertumbuhan ini diwujudkan dengan bantuan kewangan kerajaan kepada majikan dalam memastikan mereka dapat meneruskan operasi perniagaan dan mengekalkan pekerja mereka,” katanya menjawab soalan M. Kulasegaran (Ipoh Barat- PH-DAP) .

Pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan antara 5.5 dan 6.5 peratus tahun ini, berdasarkan Bajet 2022, kata Saravanan.

Beliau berkata kerajaan telah memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaan minimum baharu itu memandangkan ekonomi negara telah menyaksikan pertumbuhan positif, dengan banyak perniagaan menunjukkan pemulihan.

“Kerajaan menegaskan bahawa kenaikan gaji minimum perlu dilakukan secara berperingkat.

“Ini bagi memastikan kemampanan operasi syarikat dan pekerja dikekalkan.”

Beliau berkata sebarang kenaikan drastik boleh menjejaskan daya saing negara dan memberi kesan kepada tenaga buruh yang akan menghadapi cabaran untuk menghasilkan pekerjaan baharu berkemahiran tinggi dan berkualiti.

Isu gaji minimum turut dibangkitkan Datuk Seri Idris Jusoh (Besut-BN-Umno), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Muda) dan Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu-Pas).

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button