Gajah ‘Rambai’ dan ‘Pian’ serikan Hari Kebangsaan ke-67
KANGAR: Kehadiran dua ekor gajah menarik perhatian sejumlah 45,000 pengunjung yang membanjiri Stadium Tuanku Syed Putra, di sini sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 malam tadi.
Gajah yang bernama ‘Rambai’ dan ‘Pian’ itu didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Lanchang, Pahang diarak masuk ke stadium sekitar jam 11.30 malam sebaik acara perbarisan kontinjen berakhir.
Perarakan gajah itu didahului dengan ‘Badang Perlis’, Muhammad Hafizuddin Roslin yang mencipta sensasi pada Sukan Malaysia (SUKMA) lalu dengan merangkul pingat emas acara angkat berat selepas memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali.
Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri itu kembali semula dilaksanakan di stadium berkenaan selepas diadakan di Dataran Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada tahun lalu kerana memberi laluan kepada kerja naik taraf balapan di stadium berkenaan.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya menyeru supaya amalan perpaduan wajib diteruskan dalam kalangan rakyat di negeri itu agar keharmonian, keamanan dan kestabilan negara dapat terus menerus diperkukuhkan.
“Perpaduan adalah tiang seri kemerdekaan kita dan teras perpaduan antara kita adalah tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, mahupun negeri.
“Selaras dengan tema Hari Kemerdekaan Tahun 2024, ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ ini, tanpa perpaduan sesama kita, kemerdekaan hanya tinggal nama,” titahnya.
Baginda bertitah semasa merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 ke-67 Peringkat Negeri Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini malam tadi.
Dalam titahnya, baginda turut menegaskan bahawa kemerdekaan yang dikecapi adalah suatu tanggungjawab bersama.
“Sebagai rakyat di bumi bertuah ini, kita semua mesti bersyukur dan berbangga dilahirkan sebagai rakyat Malaysia dan kita semua perlu memainkan peranan masing-masing bagi menjamin kedaulatan tanah air tercinta sentiasa terpelihara
“Prinsip Rukun Negara panduan yang membentuk identiti dan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia dan prinsip ini adalah tunjang kepada keharmonian dan kestabilan negara,” titahnya.
Dalam titahnya, baginda turut memberi penekanan terhadap pendidikan, pembangunan sosioekonomi dan tanggungjawab dalam menjaga alam sekitar terutama sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Terdahulu, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri itu dimulakan dengan perbarisan daripada 2,600 peserta membabitkan 66 jabatan kerajaan persekutuan dan negeri, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), agensi dan badan berkanun termasuk dari pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdapat di Perlis.
Malah, perbarisan turut diserikan persembahan kawad senyap dari anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut.
Persembahan pentas turut diserikan dengan kehadiran penyanyi terkenal, Naqiu dari program realiti Gegar Vaganza musim keenam. – BH Online