Hampir sebulan sebut ‘pH’ air teruk, kumpulan Rare akhirnya mohon maaf
KUMPULAN lawak Rare yang dianggotai Ilya Buang, Ajak Shiro dan Ropie tampil memohon maaf berikutan keterlanjuran mereka membuat lawak yang dianggap mempersendakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Permohonan maaf itu dibuat selepas salah seorang anggotanya, Ilya Buang mendakwa disekat daripada membuat persembahan di Shah Alam dua minggu.
Dalam persembahan akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 pada 10 Januari lalu Rare muncul dengan lawak berkaitan peralatan penapis air.
Anggota kumpulan tersebut Ropie membawa alat tersebut untuk menapis kadar neutral dan kadar kandungan pH air tersebut. Ilya bertanya jika pH air berkenaan okay atau tidak. “Teruk,” jawapan Ropie.
pH adalah tingkatan asid atau alkali sesuatu larutan. Pengaruh pH terhadap air adalah sangat besar, terutama untuk air minum.
Lawak tersebut bagaimanapun disalah anggap oleh setengah setengah pihak apabila ada yang mengaitkan perkataan “pH” dengan singkatan nama parti kerajaan iaitu Pakatan Harapan. Jenaka itu pula dianggap sebagai mengkritik Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang ‘teruk’.
“Kami ingin menyatakan kekesalan dengan apa yang berlaku pada MLM 2019 dan ingin memohon maaf secara terbuka kepada pihak MBSA serta penonton.
“Harap-harap tiada lagi pihak yang memendam rasa dengan kumpulan Rare. Kami juga mahu isu ini berakhir dengan aman dan turut mengambil iktibar dari kejadian yang berlaku.
“Insya-Allah kami akan lebih berhati-hati di masa akan datang. Semoga ini menjadi pengajaran buat kami bertiga,” kata Ilya seperti yang dilaporkan oleh mStar.
Ilya berharap selepas permohonan maaf tersebut tiada lagi mana-mana pihak menyimpan perasaan kurang senang terhadap mereka.
Kira-kira dua minggu lalu, Ilya mendakwa dia dihalang daripada membuat rakaman program Sepah Reunion Live.
Ilya yang dikenali sebagai Pak Ya berkata, halangan tersebut dipercayai berpunca daripada lawak jenaka berkaitan pH air pada malam final Maharaja Lawak Mega 2019.
“Memang ada sikit sindiran, Cuma ia dibuat untuk tujuan melawak saja. Tak sangka pula mereka ambil serius,” kata Ilya ketika itu.
Video persembahan tersebut menjadi tular di media sosial dan menjadi usikan terhadap pemimpin kerajaan Pakatan Harapan.-SM